RTM mohon maaf tersilap sebut nama tiga pemimpin ASEAN
KUALA LUMPUR – Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) hari ini memohon maaf secara terbuka berhubung kesilapan menyebut nama tiga pemimpin negara ASEAN ketika siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dalam satu kenyataan, RTM menjelaskan kesilapan itu berlaku semasa pengulas siaran memperkenalkan ketibaan beberapa ketua kerajaan, termasuk Perdana Menteri Thailand, Singapura dan Presiden Indonesia.
Menurut kenyataan tersebut, pengulas secara tidak sengaja menyebut nama Srettha Thavisin sebagai Perdana Menteri Thailand, sedangkan jawatan itu kini disandang oleh Anutin Charnvirakul.
Kesilapan sama turut berlaku apabila Lee Hsien Loong disebut sebagai Perdana Menteri Singapura, bukannya Lawrence Wong yang kini memegang jawatan tersebut.
Selain itu, RTM turut mengakui berlaku kekeliruan apabila Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, diperkenalkan sebagai Joko Widodo dalam siaran langsung berkenaan yang disaksikan oleh jutaan penonton.
“RTM memohon maaf kepada semua pihak, khususnya kerajaan Thailand, Singapura dan Indonesia atas kekhilafan ini. Kami memandang serius perkara tersebut dan tindakan dalaman sedang diambil terhadap individu yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
Pihak RTM turut memberi jaminan akan memperkukuh kawalan editorial serta meningkatkan latihan pengulas bagi memastikan kesilapan serupa tidak berulang pada masa akan datang.
“Sebagai penyiar rasmi negara, kami komited memastikan setiap siaran mematuhi standard profesional dan menyampaikan maklumat yang tepat serta berwibawa kepada rakyat,” jelas kenyataan itu lagi.
RTM juga memaklumkan akan memperkenalkan sistem semakan berlapis dalam setiap siaran langsung yang melibatkan acara rasmi peringkat antarabangsa bagi menjaga imej negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








