Isu Laut China Selatan mesti diselesaikan menerusi kerangka ASEAN, rakan kongsi
KUALA LUMPUR – Sebarang isu berkaitan pertikaian Laut China Selatan mesti diselesaikan menerusi kerangka ASEAN bersama rakan kongsi di rantau ini
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebaik saja ia dilihat sebagai sesuatu yang dipaksa atau ditentukan oleh kuasa luar, isu berkenaan akan menjadi lebih bermasalah dan rumit untuk ditangani.
Setakat ini, katanya, situasi masih terkawal dan ASEAN mengalu-alukan persetujuan semua pihak ke arah memuktamadkan Kod Tatakelaku (COC) di Laut China Selatan.
“Kami masih dengan kuat menegaskan bahawa semua pihak yang terbabit dalam rundingan ini mesti berasaskan kepada prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat, khususnya klausa 1982 (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982) dan COC berkenaan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.
Mengenai situasi di Korea Utara, Perdana Menteri menyifatkan peningkatan pelancaran peluru berpandu oleh negara itu baru-baru ini sebagai sesuatu yang membimbangkan, namun Malaysia percaya beberapa libat urus bagi menangani isu itu mesti diteruskan.
“Sebaik saja kita menggesa libat urus dalam semua bidang, dari Gaza ke Ukraine hingga ke Myanmar, kita tidak seharusnya mengecualikan libat urus dengan Korea Utara,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri memaklumkan, sidang kemuncak berkenaan akan mengangkat Deklarasi Kuala Lumpur bagi memperingati ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak AES dan kenyataan pemimpin mengenai mempromosi pemerkasaan serta tindakan awal untuk kesiapsiagaan dan tindak balas bencana.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








