RTM tampil unik, siar program pertunjukan fesyen busana warisan negara Syawal ini
KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil unik apabila bakal menyajikan program pertunjukan fesyen yang berkonsepkan muzikal Syawal ini.
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman, program yang diberi nama ‘Citra Reka Busana’ itu bakal menyajikan rekaan busana dengan konsep warisan Malaysia.
Suhaimi berkata, program itu turut menceritakan kisah dan sejarah mengenai fabrik, reka bentuk pakaian, corak fabrik berdasarkan budaya di negara ini.
“Antara pengisian program ini adalah dalam menjejak semula fesyen dari era sebelum kemerdekaan digayakan masyarakat tempatan sehingga masa kini, dengan menampilkan karya pereka fesyen tempatan,” katanya
Suhaimi yang juga penulis skrip program itu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media Puasa Raya RTM 2025 di Angkasapuri, Kuala Lumpur hari ini.
Sebagai rekod, penonton boleh menonton program Citra Reka Busana di saluran TV2 dan RTMKlik pada 5 April, pukul 9 malam.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, pihaknya mahu lari daripada kebiasaan kandungan yang disiarkan pada musim perayaan di stesen televisyen lain.
“Yang penting sekarang ialah bagaimana kita memberikan bukan sahaja hiburan tapi juga pelajaran dan sikit kelainan dan itu sangat penting. Itulah kelainan RTM,” katanya selepas ditanya mengapa memilih untuk menyiarkan program itu pada musim perayaan.
Dalam pada itu, Suhaimi menyatakan RTM sedang giat berusaha untuk menghasilkan kandungan pelbagai bahasa bagi tontonan antarabangsa, yang disiarkan melalui RTMKlik seperti program ‘Feast of Champion’.
‘Feast of Champion’ mengintegrasikan seni kulinari dan sains nutrisi masakan yang bakal menampilkan atlet negara termasuk pelumba kereta Keifli Othman dan perenang Steve Khiew untuk berkongsi tips diet sihat yang diamalkan mereka.
Suhaimi berkata, program tersebut kini mempunyai penonton dari pelbagai negara di Eropah, Amerika Selatan, Afrika, dan Asia.
“Tujuan kita untuk bukan sahaja membawa tontonan kita ke merata dunia dan kita bakal membawa kandungan-kandungan kita untuk juga dijual dan supaya ada penggunaan dalam stesen televisyen antarabangsa,” katanya.
Program ‘Feast of Champion’ bakal disiarkan mulai 1 Mac pada hari Sabtu hingga Isnin, pukul 6.30 petang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








