Prihatin Aidilfitri: LHDN hulur sumbangan kepada tiga rumah kebajikan
CYBERJAYA – Dalam usaha menyantuni golongan memerlukan di bulan Syawal, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri LHDN 2025.
Menerusi majlis itu, LHDN mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada tiga rumah kebajikan anak-anak yatim, iaitu Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin (PKAYMS), Pusat Jagaan Rumah Bakti Nur Ain, Bangi dan Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras.
Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying sebagai tanda prihatin kepada golongan yang memerlukan.

Majlis bertemakan “Raya Gaya LHDN” itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota LHDN, Datuk Johan Mahmood Merican serta Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Dalam ucapannya, Abu Tariq berkata, sambutan Aidilfitri dan tradisi rumah terbuka LHDN mencerminkan kekuatan budaya masyarakat Malaysia yang menitikberatkan nilai kasih sayang, saling menghormati dan perpaduan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Tradisi rumah terbuka seperti ini bukan sahaja memupuk perpaduan, malah menjadi medium penting untuk memperkukuh hubungan antara pemegang taruh, pihak berkepentingan, rakan strategik LHDN serta warga kerja.
“Selain itu, inisiatif ini turut menyerlahkan komitmen berterusan LHDN untuk menyemai nilai kesyukuran, keharmonian serta semangat kebersamaan yang inklusif dan mesra selaras dengan nilai-nilai murni organisasi,” katanya.
Sementara itu, Abu Tariq turut menzahirkan harapan agar semangat kerjasama yang terjalin dalam majlis seumpama ini akan terus memberi inspirasi serta impak positif demi kemakmuran negara yang berterusan dan cemerlang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











