RM18 bilion lebihan cukai telah dibayar, libat 3.54 juta kes – HASiL
CYBERJAYA – Sebanyak RM18 bilion bayaran balik lebihan cukai telah diproses setakat ini melibatkan 3.54 juta kes, manakala baki RM1 bilion dijangka diselesaikan sepenuhnya sebelum akhir Disember ini.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan sehingga 22 Disember 2025, bayaran balik cukai berjumlah RM18 bilion melibatkan 3,542,859 kes telah diproses, susulan peruntukan tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Menurut HASiL, bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Disember 2025, bayaran balik sebanyak RM15 bilion melibatkan 3,521,929 kes telah diselesaikan.
“Bagi tempoh 9 hingga 15 Disember 2025, sebanyak RM1 bilion peruntukan tambahan telah diproses melibatkan 6,480 kes, diikuti RM1 bilion lagi bagi tempoh 16 hingga 18 Disember 2025 melibatkan 1,339 kes.
“Selain itu, bagi tempoh 19 hingga 22 Disember 2025, HASiL telah memproses bayaran balik tambahan berjumlah RM1 bilion melibatkan 13,111 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
HASiL menjelaskan, daripada keseluruhan peruntukan tambahan RM4 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, sebanyak RM3 bilion telah diproses dan dikreditkan dalam tempoh 9 hingga 22 Disember 2025, melibatkan 20,930 kes.
Menurut HASiL, baki RM1 bilion peruntukan tambahan akan diproses dan diselesaikan sebelum akhir Disember 2025.
Dana tambahan RM1 bilion pertama yang diperuntukkan berjaya menyelesaikan tunggakan bayaran balik yang berusia lebih tiga tahun tanpa mengambil kira jumlah terlibat.
“Manakala dana RM2 bilion seterusnya telah diproses bagi bayaran balik berusia dua hingga tiga tahun dengan tumpuan kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” menurut HASiL.
Dalam pada itu, HASiL menasihatkan pembayar cukai supaya memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan adalah tepat dan dikemas kini bagi melancarkan proses bayaran balik.
Menurut HASiL, terdapat kes bayaran balik yang tidak dapat diproses akibat kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul.
Selain itu, bayaran balik juga tidak dapat dilaksanakan bagi kes yang melibatkan pertikaian mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain serta syarikat yang telah digulung atau dibubarkan.
“HASiL akan terus memastikan proses bayaran balik dilaksanakan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan, dengan penekanan diberikan kepada amaun tertunggak melibatkan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







