Kutipan cukai teras pembangunan sektor kritikal negara
LHDN main peranan jadi tunjang pembangunan negara
KUALA LUMPUR – Kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak hanya dilihat sebagai instrumen fiskal, sebaliknya merupakan pemacu utama dalam memperkukuh asas ekonomi negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kutipan cukai oleh LHDN memainkan peranan penting sebagai tunjang pembangunan negara, selain menjadi sumber kewangan utama dan pemangkin kepada kemajuan sektor-sektor kritikal seperti infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.
Menurut beliau, inisiatif ini juga sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memperkasa perkhidmatan awam dan melaksanakan strategi-strategi utama yang telah digariskan menerusi Belanjawan 2025.
“Usaha untuk meningkatkan kutipan hasil tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai memenuhi sasaran fiskal, tetapi ia mencerminkan misi yang lebih besar, iaitu untuk memperkukuh keupayaan negara dalam menaik taraf infrastruktur, pendidikan, kesihatan, perlindungan sosial dan kesejahteraan setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Percukaian Kebangsaan 2025 (NTC 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dan Presiden Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Soh Lian Seng.
Baca juga : Op Tanjong kesinambungan inisiatif LHDN perkukuh tanggungjawab fiskal, keadilan sistem cukai

Sementara itu, Abu Tariq berkata, penganjuran NTC berperanan sebagai platform strategik dalam merangka masa depan ekosistem percukaian negara.
“Terkini, LHDN sudah mempergiatkan promosi e-invois secara meluas, pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri (STS) bagi Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dan Duti Setem serta Cukai Minimum Global (GMT) ke arah sistem percukaian yang lebih telus, adil dan mampan,” katanya.
NTC 2025 merupakan anjuran LHDN dengan kerjasama CTIM sebagai sokongan terhadap aspirasi Kerajaan Madani dalam merencana hala tuju pembangunan negara menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang telah dibentangkan pada 28 Julai lalu.
Edisi ke-25 persidangan tahunan itu yang bertemakan Fostering Tax Compliance, Building Economic Resilience berjaya menghimpunkan hampir 1,800 peserta terdiri daripada pengamal percukaian, ahli badan profesional serta akademik dari seluruh negara.
Sepanjang 25 tahun penganjurannya, lebih 36,000 peserta telah menyertai NTC.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















