Loke optimis penyertaan pengundi tinggi pada PRN Johor
SEREMBAN – DAP berharap peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencecah lebih 70 peratus bagi memastikan penyertaan rakyat dalam proses demokrasi terus kukuh sekali gus memperkukuhkan keabsahan kerajaan yang dipilih.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kadar keluar mengundi yang tinggi bukan bertujuan memberi kelebihan kepada mana-mana parti, sebaliknya menjadi petunjuk kepada tahap pembabitan rakyat dalam sistem demokrasi negara.
Beliau berkata, soal parti yang akan menang atau kalah hanya akan diketahui selepas keputusan rasmi diumumkan.
“Peratusan keluar mengundi yang tinggi bukan dilihat dari segi kelebihan kepada mana-mana parti tapi kita hendak sistem demokrasi negara ini subur supaya penyertaan pengundi dalam pilihan raya kekal tinggi.
“Jika hanya separuh daripada pengundi yang mengambil bahagian dalam sistem pilihan raya, itu akan menimbulkan isu kredibiliti kerajaan atau keabsahan terhadap sesebuah kerajaan kerana ia tidak mewakili suara majoriti pengundi.
“Jadi, kita mengharapkan bahawa dalam setiap kali pilihan raya terutama pilihan raya yang menentukan sesebuah kerajaan, ia mesti ada peratusan mengundi yang tinggi supaya ramai orang yang terbabit dalam sistem pembentukan kerajaan itu.
“Kalau kita nak lihat sistem demokrasi Malaysia terus subur dan ada kelangsungan, maka peratusan pengundi yang tinggi adalah parameter yang penting,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seremban Jaya, di sini, hari ini.
Mengulas momentum kempen PRN Johor, Loke mengakui sukar membuat ramalan berhubung keputusan pilihan raya itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, PH melihat perkembangan kempen yang semakin positif, terutama sepanjang minggu terakhir sebelum hari pengundian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















