Ong Kian Ming cadang DAP beri kata dua kepada Anwar gugurkan UMNO daripada Kabinet
KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP, Dr Ong Kian Ming mencadangkan parti itu memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggugurkan UMNO daripada Kabinet Kerajaan Perpaduan minggu depan.
Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan bukan sebagai ahli parti, sebaliknya berdasarkan pandangannya sebagai penganalisis politik susulan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, langkah berkenaan akan menunjukkan kesungguhan Pakatan Harapan (PH) dalam menyatakan ketidaksetujuan terhadap pendirian UMNO yang menyokong usaha mendapatkan pengampunan Najib serta mengumpul dana bagi membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Kian Ming berkata, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini secara terbuka mencabar Anwar supaya menggugurkan anggota Kabinet daripada UMNO.
“Ini mungkin menjadi peluang yang sesuai untuk Anwar menyahut cabaran Zahid,” katanya dalam pandangan yang dikongsikan menerusi laman media sosialnya hari ini.
Beliau berkata, sekiranya BN menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan selepas UMNO dikeluarkan daripada Kabinet, Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 masih berkemungkinan diluluskan di Parlimen kerana kerajaan masih mempunyai majoriti.
Bagaimanapun, katanya, Anwar perlu segera melantik pengganti kepada tujuh anggota Kabinet daripada UMNO dan memastikan mereka dapat menguasai portfolio masing-masing dalam tempoh singkat bagi membolehkan peruntukan kementerian berkaitan dibentangkan dan dibahaskan.
Beliau berkata, DAP lebih wajar mengeluarkan kata dua kepada Anwar berbanding mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan daripada kerajaan susulan isu tahanan rumah Najib.
Dalam pada itu, beliau berkata, tidak wajar untuk menyalahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang merupakan anggota Lembaga Pengampunan kerana melaksanakan keputusan berkenaan.
Katanya, keputusan tersebut pada akhirnya merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama beliau turut membangkitkan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bahawa beliau akan meletakkan jawatan sekiranya BN menang besar di Johor dan Najib dibebaskan.
“Jika ada pihak yang sepatutnya meletakkan jawatan serta-merta, mungkin Nga Kor Ming,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan DAP mungkin mengambil pendirian secara kolektif berhubung isu berkenaan.
Beliau turut mencadangkan supaya sebarang kata dua terhadap Anwar disertai ancaman tindakan yang benar-benar boleh dipercayai.
Katanya, DAP boleh menyatakan akan meletakkan jawatan daripada Kabinet sebelum mesyuarat Kabinet pada 23 September, sekiranya Anwar tidak menggugurkan UMNO daripada Kabinet.
Menurutnya, ancaman itu boleh dianggap mempunyai asas kerana sekiranya DAP berundur daripada Kabinet dan UMNO turut mengambil keputusan sama, bersama seorang menteri daripada PBRS yang juga sebahagian daripada BN, jumlah anggota Kabinet yang berundur boleh mencecah 13 daripada keseluruhan 32 menteri.
“Jumlah itu mungkin terlalu besar untuk digantikan dalam masa singkat,” katanya.
Kian Ming berkata, DAP juga boleh mempertimbangkan untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan sebagai Ahli Parlimen penyokong kerajaan sekiranya UMNO tidak dikeluarkan daripada Kabinet.
Bagaimanapun, katanya, langkah itu lebih berisiko kerana penarikan sokongan 40 Ahli Parlimen DAP boleh mencetuskan keadaan yang membawa kepada pembubaran Parlimen sekiranya BN turut menarik balik sokongan 30 Ahli Parlimennya.
Beliau berkata, strategi berkenaan juga boleh memberi implikasi terhadap asas PH, termasuk persoalan mengenai kedudukan DAP dalam gabungan berkenaan.
“Jika isu 1MDB dan tahanan rumah Najib benar-benar merupakan satu ‘garis merah’ bagi DAP, maka adalah munasabah bagi parti itu bukan sahaja meninggalkan Kabinet, malah menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya Anwar tidak bersetuju dengan tuntutan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan UMNO supaya berhati-hati dalam menangani isu tahanan rumah Najib.
Katanya, walaupun menjadi hak UMNO untuk menyokong bekas pemimpinnya termasuk mengumpul dana bagi Najib, parti itu perlu mengambil kira bahawa skandal 1MDB antara faktor yang menyumbang kepada kejatuhan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum 2018.
Beliau berkata, kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan tidak seharusnya menyebabkan UMNO menganggap sokongan pengundi Melayu akan kekal kukuh tanpa mengira tindakan politik yang diambil.
Sementara itu beliau turut mempersoalkan sama ada PAS dan Perikatan Nasional (PN) akan mengambil kesempatan sekiranya terdapat kelemahan sokongan awam terhadap UMNO susulan pendirian parti itu untuk terus menyokong Najib.
Beliau juga membangkitkan kemungkinan keadaan itu memberi kesan kepada pertimbangan pakatan pilihan raya antara BN dan PN pada pilihan raya umum akan datang.
“Para pemimpin parti politik di Malaysia dan ramai rakyat kini akan menunggu untuk melihat apa yang akan dilakukan DAP hari ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








