POLITIK

Agenda reformasi DAP bukan untuk tekan Perdana Menteri – Loke

PUTRAJAYA – DAP menegaskan agenda reformasi yang dibawa parti itu bukan untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya merupakan agenda bersama yang dipersetujui dalam Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, terdapat beberapa reformasi yang dipersetujui bersama dan diharapkan dapat dilaksanakan dengan segera demi kepentingan rakyat.

“Kita tahu musuh politik kita kata kita nak gunakan konvensyen ini ataupun persidangan ini untuk menekan Perdana Menteri dengan agenda DAP.

“Agenda DAP adalah agenda yang dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan (PH) dan dipersetujui bersama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media selepas Persidangan DAP 2026 berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Baca juga : DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal

Mengulas lanjut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, antara reformasi berkenaan termasuk pemisahan kuasa Peguam Negara dan agenda mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada dua penggal.

“Ini agenda bersama. Agenda untuk melawan rasuah. Itu agenda bersama. Itu bukannya agenda DAP semata-mata.

“Ada perkara seperti untuk jangka masa pendek ini, beberapa perubahan seperti pelaksanaan e-invoicing yang juga dibawa oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, DAP turut memberi penekanan terhadap beberapa agenda reformasi yang telah dipersetujui bersama dan mahu ia direalisasikan dalam tempoh terdekat.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, antara perkara yang diberi perhatian ialah cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara serta usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Pada masa sama, Loke berkata, DAP turut mahu kerajaan menyemak kembali kuota RON95 dan diesel, khususnya bagi Sabah dan Sarawak.

“Semua ini adalah perkara yang mendesak kehidupan rakyat dan kos sara hidup yang kita harap dapat dibincang serta laksanakan secara bersama,” katanya.

Terdahulu, DAP membuat keputusan untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Anwar sehingga tamat tempoh penggal Parlimen.

Keputusan itu dibuat selepas 1,857 perwakilan DAP yang hadir mengundi untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan, manakala 242 mengundi keluar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button