POLITIK

Anwar seru pengundi Johor guna kuasa rakyat pilih pemimpin amanah, berwibawa

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh anak Johor supaya menggunakan kuasa rakyat untuk memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa dan benar-benar bekerja demi negeri tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, esok.

Menerusi catatan di Facebook beliau, Anwar berharap, semua rakyat Johor termasuk yang berada di perantauan dapat pulang untuk menunaikan tanggung jawab mereka.

“Esok hari keramat yang bakal menentukan babak seterusnya dalam ceritera masa depan negeri dan rakyat Johor.

“Saya menyeru seluruh anak Johor, termasuk yang berada di perantauan supaya pulang dan menggunakan kuasa rakyat untuk memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa dan benar-benar bekerja demi negeri ini,” kata Anwar dalam hantaran tersebut, hari ini.

Dalam hantaran sama, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memohon supaya pengundi memberikan kepercayaan kepada gabungannya untuk memimpin Johor dengan amanah, tatakelola yang baik serta menjamin keadilan dan peluang yang saksama untuk semua, berdasarkan rekod kepimpinan di peringkat Persekutuan.

Tambahnya, PRN kali ini merupakan peluang untuk menolak mereka yang mempertahankan pencuri wang rakyat, serta menolak politik yang muflis idea dan hanya bergantung kepada hasutan kebencian kaum dan agama demi meraih undi.

“PH telah membuktikan keupayaan mentadbir Kerajaan MADANI dengan melaksanakan reformasi penting, meningkatkan pelaburan, menaikkan gaji, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang bermaruah serta menyelesaikan pelbagai masalah dan projek yang sekian lama tertangguh.

“Kita juga berjaya memulihkan imej Malaysia yang kini kembali dihormati dan diyakini di persada antarabangsa. Semangat pembaharuan dan tadbir urus inilah yang akan kita bawa untuk mengangkat Johor ke tahap yang lebih tinggi.

“Semoga Allah SWT memberkati Johor dan mengurniakan negeri ini kepimpinan yang amanah serta membuka lembaran baharu yang lebih makmur, adil dan sejahtera untuk seluruh Bangsa Johor,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button