
Op Tanjong kesinambungan inisiatif LHDN perkukuh tanggungjawab fiskal, keadilan sistem cukai
CYBERJAYA – Pelaksanaan Operasi Pematuhan Cukai siri kesepuluh di Pulau Pinang baru-baru ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif bersasar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam mengukuhkan kebertanggungjawaban fiskal serta memastikan keadilan sistem cukai dapat dilaksanakan dengan berkesan di peringkat akar umbi.
Menurut LHDN, operasi Op Tanjong yang dilaksanakan di seluruh negeri termasuk Seberang Perai itu memfokuskan sektor-sektor yang dilihat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.
“Antara sektor telibat adalah sektor pembuatan, elektronik dan elektrikal, digital dan teknologi, logistik, pembinaan dan kontraktor serta kejuruteraan.
“(Sebanyak) Enam aktiviti utama dilaksanakan sepanjang operasi ini iaitu audit cukai, verifikasi maklumat pembayar cukai, pematuhan strategik, pungutan, duti setem serta tindakan guaman,” kata LHDN dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah LHDN, sebanyak 845 kes telah dikenal pasti bagi tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan melibatkan seramai 238 pegawai LHDN dari seluruh negeri ini.
“Pendekatan ini bukan sahaja bersifat penguatkuasaan, malah turut menekankan elemen pendidikan melalui komunikasi secara langsung dengan pembayar cukai agar mereka sedar berkenaan hak dan tanggungjawab mereka dalam sistem percukaian negara,” katanya lagi.
Majlis penutupan OP Tanjong disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Datuk Hisham Rusli.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), Norfaidah Daud serta barisan pengurusan kanan LHDN.
Dalam ucapannya, Hisham menyatakan komitmen berterusan LHDN untuk melaksanakan pendekatan holistik dan bersepadu merentas lokaliti dan fungsi.
Tambah beliau lagi, kerjasama berpasukan yang kukuh merupakan teras utama dalam menyampaikan manfaat optimum kepada semua pihak, justeru jaringan kolaborasi antara agensi akan terus diperkasa sebagai elemen penting dalam tadbir urus yang efektif dan mampan.
“Pelaksanaan OP Tanjong membuktikan kesediaan LHDN dalam menyesuaikan strategi pematuhan mengikut landskap ekonomi setempat, tanpa mengetepikan prinsip keadilan dan ketelusan.
“LHDN percaya, usaha bersepadu seperti ini akan terus menjadi asas kukuh kepada ekosistem percukaian yang lestari, telus serta menyumbang secara langsung kepada keupayaan fiskal negara untuk menyokong agenda pembangunan nasional,” kata kenyataan itu lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |