LHDN laksana OP Wau di Pantai Timur, sasar tingkat pematuhan cukai nasional
KOTA BHARU – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) terus memperhebat usaha memperkukuh kecekapan sistem percukaian negara dengan pelaksanaan Operasi Pematuhan Cukai (OP Wau) Siri 9/2025 di tiga negeri Zon Pantai Timur.
Operasi bersepadu yang bermula dari 23 hingga 26 Jun itu melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan penyertaan seramai 394 pegawai serta penyasaran terhadap 1,443 kes meliputi pelbagai sektor ekonomi.
Dalam satu kenyataan media LHDN berkata, OP Wau merupakan kesinambungan strategi penguatkuasaan bersepadu yang bertujuan mempertingkat kadar pematuhan cukai dan mengukuhkan jaringan kutipan hasil negara.

“Antara sektor yang menjadi tumpuan kali ini termasuk pertanian, perkakasan pertanian, pembinaan, peruncitan, barang kemas, bengkel kereta, tekstil, klinik dan stesen minyak.
“Pendekatan bersasar ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menambah baik tadbir urus fiskal secara berstruktur,” menurut kenyataan itu lagi.
Lima aktiviti utama yang dilaksanakan sepanjang operasi termasuk audit, pungutan, verifikasi pembayar cukai, pematuhan strategik dan tindakan guaman.
Majlis perasmian OP Wau disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengoperasian Audit Cukai, Sektor Pematuhan Cukai, Datuk Mukti Mohd Hassan di Menara LHDN Kelantan yang turut dihadiri oleh pengurusan kanan agensi tersebut.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kejayaan kutipan hasil negara tidak boleh hanya bergantung kepada strategi di peringkat pusat.
“Keberhasilan kutipan hasil tidak boleh hanya bergantung pada strategi pusat, tetapi memerlukan penglibatan aktif dari setiap negeri di LHDN.
“Justeru, amat penting untuk setiap negeri terus bertindak secara proaktif, mengenal pasti kes-kes berisiko dan melaksanakan tindakan yang sewajarnya secara bersepadu,” katanya.
Tambah beliau, OP Wau menjadi bukti komitmen berterusan agensi itu dalam usaha merapatkan jurang pematuhan, memperkukuh integriti sistem cukai serta mendekati segmen pembayar cukai yang memerlukan bimbingan dan pembetulan.
Langkah tersebut dijangka mampu meningkatkan keyakinan umum terhadap sistem percukaian negara yang adil, telus dan inklusif, selaras dengan matlamat untuk membina ekosistem percukaian yang berdaya saing dan mampan dalam jangka panjang.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh menghubungi LHDN melalui Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (luar negara), live chat atau borang maklum balas di portal rasmi di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







