E-Invois: LHDN berjaya kutip RM82 juta cukai tambahan
CYBERJAYA – Sebanyak RM82 juta hasil cukai tambahan berjaya dikutip selepas 5,800 pembayar cukai yang sebelum ini gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) tampil melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang berjumlah RM484 juta.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), menerusi semakan e-Invois, pihaknya telah memperoleh data transaksi perniagaan oleh individu dan syarikat, sekali gus memudah cara pengesanan awal terhadap ketidakpatuhan cukai secara lebih sistematik.
“Seramai 5,800 pembayar cukai yang sebelumnya didapati tidak patuh pengemukaa BNCP, telah tampil mengemukakan BNCP dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM484 juta yang menyumbang kepada hasil cukai tambahan sebanyak RM82 juta,” menurut kenyataan yang dikeluarkan LHDN hari ini.
LHDN menegaskan pihaknya sentiasa memantau data pembayar cukai yang telah disahkan dalam sistem MyInvois bagi memastikan pematuhan cukai terus dilaksanakan secara sukarela dan berterusan, berlandaskan prinsip keadilan dalam sistem percukaian negara.
“Setakat hari ini, sebanyak 413 juta e-Invois telah dikeluarkan, membabitkan lebih 83,000 pembayar cukai daripada pelbagai fasa pelaksanaan iaitu dari fasa pertama hingga kelima, termasuk yang melaksanakan sistem ini secara sukarela,” katanya.
Baca juga : LHDN santuni penduduk Kampung Batu 2 Sepintas
Menurut kenyataan LHDN lagi, perkembangan ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik oleh para pembayar cukai terhadap pelaksanaan e-Invois yang mula berkuat kuasa sejak 1 Ogos tahun lalu.
Selain itu, LHDN turut mengingatkan bahawa pembayar cukai yang telah tamat tempoh kelonggaran perlu melaksanakan e-Invois sepenuhnya mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Bagi membantu pembayar cukai mendapatkan maklumat dan panduan lanjut berkenaan pelaksanaan e-Invois, LHDN menyediakan pelbagai saluran komunikasi seperti berkunjung ke Pejabat LHDN; Meja Bantuan e-Invois LHDN di talian 03-8682 8000 (24 jam) dan MyInvois Live Chat.
Selain itu, orang ramai juga boleh e-mel ke myinvois@hasil.gov.my untuk pertanyaan umum e-Invois atau mengisi Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan: feedback myinvois
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












