BERITA SEMASA

LHDN santuni penduduk Kampung Batu 2 Sepintas

SABAK BERNAM – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus menyokong aspirasi kerajaan MADANI menerusi pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Santuni MADANI ‘Satu Pemimpin Satu Kampung’ yang berlangsung di Kampung Batu 2, Sepintas, di sini semalam.

Program yang diadakan dengan kerjasama komuniti setempat itu merupakan kesinambungan daripada inisiatif sama yang pernah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Doktor Abdul Latiff (SKDAL), Sabak Bernam pada tahun lalu.

LHDN santuni penduduk Kampung Batu 2 Sepintas
LHDN santuni penduduk Kampung Batu 2 Sepintas

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, program itu memberi peluang kepada ketua agensi turun padang menyantuni penduduk kampung secara lebih dekat selain memahami cabaran yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, pemilihan Kampung Batu 2 Sepintas bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti bagi memastikan tiada golongan yang tercicir, khususnya dari segi sosioekonomi dan pembangunan.

“Melalui program ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf Surau Firdausiah yang bermula Julai ini bagi keselesaan kariah surau,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Beliau berkata, agihan bakul makanan turut disampaikan kepada enam keluarga di bawah Projek Perumahan Rumah Zakat (PPRZ) serta sumbangan tunai diberikan kepada seorang asnaf yang terpilih.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), Shaharrudy Othman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas), Datuk Ahmad Khairuddin Abdullah; Pengarah Jabatan Khidmat Korporat, Shahrul Niza Bishahrin; Pegawai Penyelaras DUN Sabak, Samad Hashim; Ketua Penolong Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Marwan Ahmad Tajuri serta Tok Sidang Kampung Batu 2 Sepintas, Md Subir Md Ali.

Abu Tariq turut berkata, pada tahun 2024, LHDN telah melaksanakan lapan program CSR di seluruh negara melibatkan dua penganjuran di peringkat Ibu Pejabat dan enam di peringkat negeri.

“Program ini selari dengan komitmen kami untuk melahirkan masyarakat penyayang, prihatin dan berdaya tahan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dalam pembentukan masyarakat MADANI.

“Kita mahu pastikan tiada sesiapa yang terpinggir dalam arus pembangunan negara dan nilai kasih serta empati terus tersemat dalam diri setiap anggota masyarakat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button