BERITA SEMASA

OP Kinta: LHDN buru peniaga asing bayar cukai

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenalpasti sebanyak 80 kes melibatkan operasi perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing di sekitar Ipoh, Perak dalam Operasi Pematuhan 2025 yang dikenali sebagai “OP Kinta”.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Khairul Halimin Abdul Halim berkata, berdasarkan tinjauan awal didapati warganegara asing yang terlibat terdiri daripada warga Thailand, Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.

“Pelaksanaan OP Kinta memberi tumpuan khusus terhadap pematuhan cukai dalam kalangan warga asing.

“Ini merupakan antara strategi penting untuk menangani ekonomi bayangan yang memberi impak kepada kutipan hasil negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan OP Kinta di Menara LHDN di Ipoh hari ini.

Beliau berkata, melalui pendekatan itu, pihaknya bukan sahaja menyasarkan tindakan penguatkuasaan, malah turut menjalankan verifikasi pembayar cukai tidak aktif secara menyeluruh bagi memastikan tiada pihak yang terlepas daripada tanggungjawab cukai mereka.

Katanya, siri ketujuh Operasi Pematuhan 2025 itu berlangsung di Perak mulai hari ini hingga 30 Mei ini.

Jelasnya, ia menjadi wadah penting untuk menzahirkan komitmen LHDN dalam memperkasa landskap percukaian negara dan menangani ketidakpatuhan cukai secara menyeluruh dan sistematik.

“Pelaksanaan operasi kali ini melibatkan seramai 227 pegawai LHDN dan menyasarkan 676 kes yang telah dikenal pasti di beberapa lokasi tumpuan ekonomi di sekitar Perak.

“Fokus utama OP Kinta dibahagikan kepada lima sektor berisiko tinggi yang dikenal pasti berpotensi menyumbang kepada ketirisan hasil negara iaitu sektor pembinaan, hartanah, pembuatan, ekonomi bayangan dan pertanian.

“Lima aktiviti utama yang menjadi tumpuan operasi ini merangkumi audit cukai dan majikan, pematuhan strategik, verifikasi pembayar cukai, pungutan serta tindakan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Sementara itu katanya, seiring usaha mendepani arus pendigitalan sistem percukaian negara, OP Kinta turut dimanfaatkan dengan memberi penerangan secara langsung kepada pembayar cukai berkenaan pelaksanaan e-Invois.

Ujarnya, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kefahaman dan tahap kesediaan pembayar cukai terhadap sistem digital baharu, malah menyokong peralihan sistemik ke arah persekitaran percukaian yang lebih efisien, telus dan responsif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button