Karnival PMKS, e-Invois pacu transformasi digital usahawan kecil
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia terus mempergiat usaha memperkasa pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi penganjuran Karnival PMKS dan e-Invois yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Program bersempena Sambutan Hari HASiL Ke-30 itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin serta Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan, Datuk John Patrick Antonysamy.
Chin Tong dalam ucapannya berkata, PMKS bukan sahaja penyumbang penting ekonomi negara, malah perlu diperkukuh melalui penerapan teknologi digital seperti e-Invois bagi memastikan daya saing dalam landskap ekonomi moden.
Penganjuran karnival itu berperanan sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan lebih 20 agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta dan institusi kewangan bagi membuka akses kepada pembiayaan, pasaran baharu serta meningkatkan keupayaan perniagaan.
“Selaras dengan pelaksanaan e-Invois di peringkat nasional, pelbagai inisiatif turut disediakan termasuk latihan, khidmat nasihat dan pendedahan kepada penyelesaian digital bagi meningkatkan kecekapan operasi serta ketelusan kewangan,” menurutnya dalam satu kenyataan dikeluarkan HASiL hari ini.

Perasmian Karnival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan e-Invois.
Selain itu, lebih 30 usahawan daripada pelbagai sektor turut mengambil bahagian, manakala reruai HASiL menyediakan khidmat nasihat secara langsung termasuk promosi penggunaan Portal MyInvois dan MyInvois e-POS sebagai pemudah cara kepada pelaksanaan sistem tersebut.
Dalam masa sama, Timbalan Menteri Kewangan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil agensi yang terlibat serta meluangkan masa berinteraksi dengan para pempamer dan tetamu yang hadir.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








