BERITA SEMASA

Ops Token kesan ketirisan hasil dalam perdagangan mata wang kripto – LHDN

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menerusi Ops Token berjaya menemukan syarikat dan perkongsian liabiliti terhad yang sengaja diwujudkan untuk menjadi pengantara kepada transaksi perdagangan mata wang kripto semata-mata bagi mengelakkan pelaporan cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, mana-mana individu yang terlibat dengan perdagangan mata wang kripto di Malaysia adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia.

“Pihak yang menjalankan aktiviti perdagangan mata wang kripto diminta tampil membuat pelaporan cukai di mana-mana pejabat LHDN berdekatan dengan kadar segera sebelum tindakan pematuhan diambil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ops Token merupakan antara usaha LHDN bagi mengurangkan ketirisan hasil cukai dalam perdagangan mata wang kripto dan menambah baik pentadbiran cukai negara.

Operasi di 10 lokasi berbeza di Lembah Klang itu dijalankan secara serentak dan dilaksanakan dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan CyberSecurity Malaysia (CSM).

“Menerusi operasi ini, data-data perdagangan mata wang kripto yang disimpan dalam peranti mudah alih dan komputer berjaya diperoleh.

“Data yang ditemukan akan dianalisa secara terperinci bagi mendapatkan nilai aset mata wang kripto yang diperdagangkan dan keuntungan yang dijana daripada kegiatan tersebut sekali gus mengenal pasti nilai ketirisan cukai sebenar yang tidak pernah dilaporkan kepada LHDN,” kata Abu Tariq lagi.

Maklumat berkaitan Garis Panduan Layanan Cukai Ke Atas Transaksi Mata Wang Digital boleh dimuat turun menerusi capaian pantas berikut, manakala orang ramai yang ingin mendapatkan sebarang maklum balas, boleh menghubungi LHDN menerusi talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000, Liva Chat LHDN atau menerusi Borang Maklum Balas di pautan pantas berikut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button