LHDN: Ops Pantai Timur tumpu kurangkan ketirisan hasil, perluas asas cukai
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus giat meneruskan usaha-usaha mengurangkan ketirisan hasil dan memperluas asas cukai.
Menurut LHDN, usaha tersebut dibuat dengan pelaksanaan Operasi Pematuhan Khas iaitu Ops Pantai Timur yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 12 Ogos lalu hingga hari ini, di negeri Terengganu dan Kelantan.
LHDN berkata, operasi yang dijalankan ini melibatkan seramai 155 pegawai LHDN dari pelbagai seksyen di kedua-dua buah negeri serta turut dibantu oleh pegawai- pegawai audit dari LHDN Pahang.
“Antara fokus utama operasi ini adalah pelaksanaan aktiviti audit bersepadu dan pemantauan ke atas pembayar cukai berdasarkan industri melibatkan kontraktor pembinaan.
“Selain itu, fokus lain termasuklah
kontraktor am, penyelenggaraan jentera, percetakan, kedai emas, pakaian, produk kecantikan dan kesihatan, kedai runcit serta pembalakan dan perkakasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Terdahulu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), Datuk Wan Ramiza Wan Ghazali telah menyempurnakan majlis perasmian operasi tersebut, sambil disertai oleh barisan pengurusan kanan LHDN.
Untuk rekod, sebanyak 836 kes di Terengganu dan 86 kes di Kelantan telah berjaya dilawati menerusi operasi pematuhan ini meliputi pembayar cukai syarikat, selain syarikat dan majikan.
“Pelaksanaan operasi ini diharap dapat mencapai objektifnya dalam memupuk kesedaran tentang tanggungjawab membayar cukai dengan telus sekali gus meningkatkan kutipan cukai demi kelestarian ekosistem percukaian negara,” ujar LHDN lagi dalam kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








