Surat cara 2023–2025 layak pengecualian penalti PKPS duti setem 2026 – HASiL
CYBERJAYA – Semua surat cara yang disempurnakan dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 layak diberikan pengecualian penalti di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Duti Setem 2026.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), penyeteman serta bayaran duti setem perlu dilaksanakan dalam tempoh pelaksanaan PKPS Duti Setem 2026, iaitu bermula 1 Januari lalu hingga 30 Jun ini.
“Sepanjang tempoh PKPS Duti Setem 2026, semua surat cara yang disempurnakan dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 layak dikecualikan penalti berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Pemungut Duti Setem di bawah subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut HASiL lagi, semua surat cara yang disempurnakan dalam tempoh berkenaan dan telah disetemkan di bawah program tersebut tidak akan diaudit.
Bagaimanapun, pengecualian itu tidak terpakai kepada pembayar duti bagi surat cara lain yang tidak disetemkan melalui program berkenaan.
HASiL menambah, jumlah penalti masih akan dipaparkan dalam Borang Nyata Duti Setem (BNDS) atau Notis Taksiran yang dikeluarkan, namun penalti tersebut akan dihapuskan secara automatik semasa proses bayaran dibuat tanpa memerlukan sebarang tindakan lanjut daripada pembayar.
HASiL walau bagaimanapun menegaskan bahawa PKPS Duti Setem 2026 tidak terpakai bagi kes yang melibatkan unsur penipuan.
Sehubungan itu, pembayar duti disarankan supaya mengemukakan permohonan penyeteman serta membuat bayaran duti setem lebih awal bagi memastikan notis taksiran dapat dikeluarkan dalam tempoh PKPS dan bayaran dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
HASiL turut menasihatkan orang ramai agar mengambil peluang menyertai PKPS Duti Setem 2026 yang dilaksanakan selama enam bulan ini.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan inisiatif berkenaan diharap dapat menyokong kemampanan fiskal negara serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
Sebagai rujukan, garis panduan serta soalan lazim berkaitan PKPS Duti Setem 2026 boleh diakses dan dimuat turun menerusi portal HASiL di www.hasil.gov.my
.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















