LUAR NEGARA

Taman tema Dragon Ball Z bakal dibina berhampiran Paris

PARIS – Perancis dan Arab Saudi mencapai persetujuan untuk membangunkan kompleks hiburan bernilai €6 bilion (RM28.2 bilion) berhampiran Paris, termasuk sebuah taman tema yang dijangka berkonsepkan francais manga dan anime popular Jepun, Dragon Ball Z.

Projek itu akan dibangunkan di Cergy-Pontoise, kira-kira 30 kilometer di barat laut Paris dan mampu mewujudkan sekitar 22,000 peluang pekerjaan.

Menurut penasihat Presiden Perancis, Emmanuel Macron, idea pembangunan berkenaan tercetus daripada perbualan Macron dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, ketika lawatan beliau ke Arab Saudi pada 2025 apabila kedua-duanya menyedari mempunyai minat yang sama terhadap Dragon Ball Z.

Projek itu akan dibiayai Qiddiya Investment Company, kumpulan hiburan dan pelaburan Arab Saudi yang dikaitkan dengan agenda Vision 2030 negara berkenaan untuk mempelbagaikan ekonomi daripada kebergantungan kepada minyak serta memperluas kehadiran global dalam sektor hiburan dan rekreasi.

Menurut laporan Reuters, pembangunan berkenaan dijangka menjadi antara projek taman tema terbesar di Eropah, namun tarikh pembukaan masih belum ditetapkan dan kerja pembinaan dijangka mengambil masa beberapa tahun.

Lebih menarik, projek itu bukan sekadar sebuah taman tema.

Maklumat terkini daripada media antarabangsa menyebut pembangunan berkenaan dirancang sebagai kompleks berskala besar yang boleh merangkumi sehingga tiga taman tema, selain komponen hiburan, riadah, hotel, kebudayaan dan sukan.

Salah satu taman tema itu dijangka memberi tumpuan kepada Dragon Ball Z, walaupun perkara berkenaan belum dimuktamadkan secara rasmi.

Projek itu juga akan dibangunkan di kawasan Courdimanche iaitu di tapak bekas taman tema Mirapolis yang beroperasi antara 1987 hingga 1991.

Pengumuman itu dibuat ketika Mohammed bin Salman melakukan lawatan rasmi ke Perancis termasuk menghadiri majlis penutupan Esports World Cup bersama Macron di Paris pada Ahad.

Pegawai Perancis menyifatkan projek berkenaan sebagai bukti negara itu kekal menjadi destinasi menarik bagi pelaburan asing, manakala Macron menggambarkannya sebagai projek berskala luar biasa yang bakal mewujudkan destinasi hiburan baharu bertaraf global.

Selain itu, projek tersebut dilihat mengukuhkan hubungan ekonomi Perancis-Arab Saudi, khususnya dalam sektor hiburan, pelancongan dan pelaburan berskala besar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button