Perancis lulus undang-undang baharu permudah pemulangan artifak kolonial
PARIS – Parlimen Perancis meluluskan rang undang-undang (RUU) baharu yang bertujuan memudahkan proses pemulangan karya seni dan artifak bersejarah yang diambil semasa era penjajahan kepada negara asal masing-masing.
RUU berkenaan diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rendah semalam, selepas menerima sokongan penuh Dewan Tinggi pada Januari lalu.
Perancis ketika ini masih menyimpan puluhan ribu artifak yang diperoleh sepanjang zaman empayar kolonialnya.
Sebelum ini, proses pemulangan dianggap rumit kerana setiap artifak memerlukan kelulusan undang-undang secara individu.
Presiden Emmanuel Macron menjadikan pemulangan artifak kolonial sebagai antara agenda utama pentadbirannya.

Sejak 2017, beliau berulang kali menegaskan komitmen Perancis untuk mengiktiraf kesilapan sejarah khususnya di benua Afrika serta mempercepatkan pemulangan warisan budaya kepada negara asal dalam tempoh beberapa tahun.
RUU baharu itu memberi tumpuan kepada artifak yang diperoleh antara tahun 1815 hingga 1972 sekali gus mempercepatkan proses restitusi tanpa perlu melalui prosedur perundangan yang panjang bagi setiap item.
Sebelum ini, Perancis berdepan tekanan diplomatik daripada beberapa negara seperti Algeria, Mali dan Benin yang menuntut pemulangan khazanah budaya mereka.
Pada tahun 2025, Parlimen Perancis turut meluluskan pemulangan satu artifak kepada Ivory Coast yang dirampas oleh tenteranya pada tahun 1916.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








