BERITA SEMASALUAR NEGARA

Barang kemas hampir RM20 juta dilarikan dalam rompakan Muzium Lalique

STRASBOURG – Sekumpulan pencuri bertopeng melarikan barang kemas bernilai hampir €4 juta (RM20 juta) dalam satu rompakan di Muzium Lalique di timur laut Perancis, hanya beberapa bulan selepas kejadian rompakan permata di Muzium Louvre, Paris.

Menurut pihak berkuasa, rompakan berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi waktu tempatan apabila suspek memecah masuk ke muzium di Wingen-sur-Moder sebelum menuju terus ke galeri barang kemas dan memecahkan enam kotak pameran.

Kira-kira 20 barang kemas kristal hasil rekaan pengasas jenama mewah Perancis, René Lalique, dilaporkan dilarikan dalam kejadian tersebut.

Nilai sebenar kerugian masih dinilai, namun dianggarkan mencecah hampir (RM20 juta).

Sumber turut memaklumkan barang kemas yang dicuri diperbuat daripada kristal tanpa batu permata berharga, sekali gus menyukarkan ia dileburkan atau dijual semula di pasaran biasa.

Walaupun sistem penggera di muzium berfungsi ketika kejadian, pencuri berjaya meloloskan diri sebelum pihak keselamatan tiba di lokasi.

Kejadian hanya disedari sepenuhnya selepas seorang pekerja pembersihan memasuki bangunan dan menghubungi polis.

Pihak berkuasa kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti suspek, manakala siasatan dikendalikan oleh unit jenayah Gendarmerie Bas-Rhin.

Muzium Lalique mengesahkan premis itu akan ditutup kepada orang ramai selama beberapa hari bagi membolehkan siasatan dijalankan serta langkah keselamatan dipertingkatkan.

Muzium yang dibuka pada 2011 itu menempatkan lebih 650 koleksi karya René Lalique, termasuk barang kemas gaya Art Nouveau, hasil seni kaca Art Deco dan pelbagai koleksi kristal kontemporari, sekali gus menjadikannya antara destinasi warisan seni paling penting di Perancis.

Kejadian itu turut menghidupkan semula kebimbangan terhadap tahap keselamatan muzium di Perancis susulan rompakan permata bernilai puluhan juta euro di Muzium Louvre pada Oktober tahun lalu yang menggemparkan dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button