BERITA SEMASA

SASA jadikan PPM ‘benchmark’ kepengakapan

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) telah diangkat sebagai ‘benchmark’ atau penanda aras oleh Persatuan Pengakap Arab Saudi (SASA) dalam usaha mereka memperkasakan aspek kepengakapan di negara berkenaan.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr Mohd Zin Bidin berkata, hasrat tersebut disuarakan oleh delegasi SASA semasa sesi libat urus peringkat tertinggi di Rumah B-P, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Dr Mohd Zin, pihak SASA menzahirkan minat mendalam terhadap struktur kurikulum kepengakapan Malaysia, khususnya berkaitan penganugerahan King Scout.

“Bagi saya, tiada salahnya untuk kita berkongsi kepakaran ini. Selain dapat membantu mereka memajukan pergerakan pengakap di Arab Saudi, ia juga merupakan satu bentuk sumbangan bermakna.

“Mereka sangat berpuas hati dan teruja apabila kita menyatakan kesediaan untuk berkongsi kurikulum serta sistem lencana yang kita amalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Messengers of Peace Engagement Dinner yang dihadiri wakil dari SASA, Yayasan Pengakap Dunia (WSF) dan Pertubuhan Pergerakan Pengakap Dunia (WOSM).

Hadir sama, Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr Mohammed Mukhyuddin Sarwani; Pemangku Setiausaha Agung SASA, Dr. Mohammed Al-Sayed dan Pengarah Global, Hubungan Luar, Kerjasama dan Pembangunan Perniagaan WOSM, Sam Williams.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zin menegaskan bahawa PPM komited untuk berkongsi kepakaran tersebut secara telus melalui saluran rasmi sebagai sebahagian daripada misi pembangunan belia antarabangsa.

Menjelaskan hala tuju masa hadapan, Dr Mohd Zin menyatakan bahawa PPM akan mengambil langkah yang lebih proaktif bagi mengukuhkan kerjasama dengan pergerakan Pengakap di Arab Saudi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button