LUAR NEGARA

Taman tema lokasi kemalangan permainan berayun diarah tutup serta-merta

TAIF – Taman tema di kawasan Al-Hada, di sini yang menjadi lokasi insiden runtuhan permainan “360 Big Pendulum” Rabu lepas, diarah tuttup serta-merta.

Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik di akaun X kerajaan wilayah itu, Gabenor Taif, Putera Saud bin Nahar bin Saud bin Abdulaziz, mengarahkan penutupan resort berkenaan sementara siasatan dijalankan terhadap kejadian tragis yang mencederakan 23 pengunjung taman terma itu, lapor Arab News.

“Beberapa mangsa mengalami kecederaan, ada yang dirawat di lokasi kejadian, manakala yang lain dihantar ke hospital,” menurut kenyataan tersebut. Tiada kematian dilaporkan.

Menurut saksi dan rakaman video yang tular di media sosial, permainan yang berayun dalam gerakan besar itu mengalami kerosakan struktur apabila tiang tengahnya retak secara mendatar ketika beroperasi.

Ini menyebabkan bahagian utama yang menampung tempat duduk penumpang terhempas ke tanah ketika para pengunjung masih terikat di tempat duduk masing-masing.

Video yang tular di media sosial turut menunjukkan suasana panik sejurus kejadian, dengan beberapa penumpang mengalami kecederaan akibat hentakan, manakala yang lain terkena serpihan komponen yang melantun dengan kelajuan tinggi dan terkena penumpang di bahagian bertentangan.

Pasukan kecemasan melaporkan pelbagai tahap kecederaan, termasuk tiga mangsa dalam keadaan kritikal.

Pihak berkuasa bertindak pantas dengan kehadiran pasukan pertahanan awam, perubatan kecemasan dan keselamatan yang tiba tidak lama selepas insiden dilaporkan.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan orang awam terhadap tahap keselamatan di taman-taman hiburan, dengan gesaan supaya pemeriksaan lebih ketat dan kawal selia yang lebih telus dilaksanakan.

Pihak berkuasa dijangka mengumumkan penemuan awal hasil siasatan dalam beberapa hari lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button