Lelaki cedera, dadah ditemui dalam kereta selepas kemalangan di Plaza Tol SKVE
KUALA LANGAT – Seorang lelaki cedera selepas terbabit kemalangan di Plaza Tol Telok Panglima Garang, Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), semalam sebelum polis menemui dadah jenis ganja dan syabu dalam kenderaan dipandunya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, sebuah kereta Toyota Corolla dipandu seorang wanita berusia lingkungan 40-an sedang memperlahankan kenderaan untuk membuat transaksi di tol sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta jenis Chery.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, impak kuat perlanggaran menyebabkan kereta Chery hilang kawalan lalu melanggar tembok pembahagi tol sebelum terbalik.
“Pemandunya, seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang bekerja di sebuah syarikat swasta, mengalami kecederaan di kaki kiri, muka dan tangan sebelum dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
“Pemandu wanita terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki lesen memandu. Polis turut menemui dadah disyaki jenis ganja seberat 1.07 gram dan syabu seberat 1.17 gram di dalam kenderaan tersebut.
Akmalrizal berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pemandu wanita dan beberapa saksi bebas yang melihat kejadian turut hadir memberikan keterangan kepada polis,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








