BERITA SEMASADALAM NEGERI

Dua pelajar UiTM Rembau maut, motosikal terbabas langgar penghadang besi

SEREMBAN – Dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka dipercayai terbabas dan melanggar besi penghadang di KM 1, Jalan Chengkau–Panchang–Lubok Cina, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain, kemalangan berlaku kira-kira jam 4 petang itu ketika ketika kedua-dua pelajar itu sedang dalam perjalanan dari arah kampus menghala ke Pekan Lubok Cina

Hasani berkata, mangsa, Ismawanie Husna Ismail dan Nur Ain Zulaisya Zahrain, yang kedua-duanya berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan pada bahagian kepala.

“Hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika kedua-dua pelajar Diploma Pengurusan Maklumat serta Diploma Komunikasi dan Media itu sedang dalam perjalanan dari arah UiTM Rembau menghala ke Pekan Lubok Cina. Keadaan cuaca dilaporkan baik ketika itu.

“Setiba di jalan selekoh, motosikal Yamaha NVX yang ditunggang Ismawanie Husna dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button