PDRM tegaskan komitmen pastikan perolehan telus, profesional, berintegriti – KPN
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan memastikan semua urusan perolehan pasukan itu dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti selaras arahan kerajaan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM mengambil maklum sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung perolehan.
“PDRM akan melaksanakan segala tindakan yang perlu secara profesional, telus dan berintegriti, selaras undang-undang, dasar serta arahan ditetapkan kerajaan.
“PDRM turut memastikan setiap proses dilaksanakan itu mematuhi prinsip tadbir urus baik demi memelihara kepentingan awam serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Baca juga : KDN sambut baik arahan PM teliti balik perolehan, sedia kaji untuk elak penyelewengan
Semalam, media melaporkan kerajaan mengarahkan semua keputusan perolehan membabitkan tentera, polis serta agensi berkaitan, yang terkait dengan isu rasuah, dibekukan sementara.
Anwar berkata, ia bagi membolehkan perkara terbabit diteliti serta disusun semula bagi memastikan peraturan proses perolehan dipatuhi sepenuhnya dan bebas daripada unsur rasuah.
Perdana Menteri dilapor menegaskan langkah itu penting kerana masih wujud budaya memandang ringan isu rasuah.
Malah, Anwar berkata, ada pihak mempertahankan perbuatan berkenaan, termasuk ketika tindakan diambil terhadap bekas pemimpin yang memiliki kekayaan berbilion ringgit.
Perdana Menteri turut dipetik berkata, beliau menunggu laporan terperinci berhubung sebarang kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan sedia ada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








