Draf keputusan mahkamah timbulkan persoalan kebebasan kehakiman – Peguam Rosmah
PUTRAJAYA – Draf keputusan bertulis yang disediakan oleh Bahagian Penyelidikan Mahkamah Tinggi terhadap Datin Seri Rosmah Mansor menimbulkan persoalan serius berhubung kebebasan kehakiman, kata Peguam kanan, Datuk Jagjit Singh.
Peguam yang mewakili Rosmah, 74, itu berhujah di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini bagi permohonan menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang membicarakan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion anak guamnya.
Mohamed Zaini merupakan hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap isteri bekas Perdana Menteri itu.
Jagjit berhujah, tindakan menyerahkan kehakiman kepada pihak ketiga, sama ada dalam bentuk draf atau akhir, sama sekali tidak boleh diterima dan sangat memudaratkan.
“Tidak salah hakim mempunyai pegawai penyelidik, tetapi penghakiman mesti ditulis sendiri oleh hakim.
“Ini kerana keputusan hakim akan mencerminkan pertimbangan dan dapatannya sendiri,” katanya sambil menegaskan tindakan tersebut menyebabkan Rosmah tidak mendapat perbicaraan yang adil.
Peguam itu berkata demikian di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim serta dianggotai Hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Pada 1 September 2022, Hakim, Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah dihukum penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, namun hukuman itu diperintahkan berjalan serentak, bermakna beliau hanya akan menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.
Beliau turut didenda RM970 juta dan, jika gagal membayar denda itu, boleh dikenakan hukuman penjara selama 30 tahun.
Rosmah kemudian mengemukakan permohonan saat akhir sebelum keputusan diumumkan untuk membatalkan penghakiman berkenaan atas dakwaan berlaku kebocoran draf penghakiman yang dikatakan dibuat oleh pihak ketiga dan tersebar secara meluas beberapa hari lebih awal.
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak oleh Hakim, Mohamed Zaini pada permulaan prosiding pada hari sama.
Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







