JENAYAH & MAHKAMAH

Rosmah nafi enggan pulangkan barang kemas, dakwa dirampas polis

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menafikan dakwaan beliau gagal atau enggan memulangkan 44 barangan kemas milik syarikat dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, seperti yang dibangkitkan dalam prosiding Mahkamah Tinggi di sini.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, beliau sentiasa berhasrat memulangkan semua barang kemas berkenaan dalam keadaan asal, namun tidak berbuat demikian kerana ia telah dirampas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, serbuan pada 17 Mei 2018 di Pavilion Residences menyebabkan semua barangan berharga milik keluarganya, termasuk 44 barang kemas terbabit, disita pihak berkuasa.

“Selepas serbuan itu, saya tidak lagi mempunyai kawalan atau tanggungjawab terhadap barang kemas tersebut kerana ia telah dirampas oleh PDRM,” memetik BH online.

Rosmah berkata, barangan kemas itu dihantar kepadanya untuk tujuan penilaian dan kemungkinan pembelian, selain sebagai promosi kepada golongan kenamaan dan elit.

“Semua barang kemas tersebut disimpan dengan rapi dalam beg berkunci oleh pembantunya dan tidak sempat digunakan kerana beliau ketika itu sibuk membantu kempen Pilihan Raya Umum 2018,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Global Royalty, Samer Hassib Halimeh, dalam keterangannya berkata, pihaknya tidak menerima sebarang bayaran atau pemulangan barang kemas berkenaan walaupun surat tuntutan telah dihantar.

Beliau turut mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas itu berada dalam simpanan pihak polis, manakala selebihnya tidak dapat dikesan.

Kes saman berjumlah AS$14.57 juta (kira-kira RM69 juta) itu turut menamakan Kerajaan Malaysia dan PDRM sebagai pihak ketiga.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Quay Chew Soon bersambung hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button