JENAYAH & MAHKAMAH

16 Mac pendengaran permohonan PETRONAS rujuk isu kawal selia petroleum di Sarawak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Mac bagi mendengar permohonan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) untuk mendapatkan kebenaran merujuk persoalan undang-undang berhubung kerangka kawal selia operasi petroleum syarikat itu di Sarawak.

Permohonan tersebut difailkan melalui notis usul pada 10 Januari lalu, dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dinamakan sebagai responden.

Tarikh pendengaran ditetapkan semasa prosiding pengurusan kes pertama di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Azaraorni Abd Rahman, menerusi sidang video hari ini.

Difahamkan, permohonan kebenaran itu dibuat di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan akan didengar oleh seorang hakim sebelum sebarang pendengaran merit dijalankan.

Dalam kenyataan sebelum ini, PETRONAS memaklumkan permohonan berkenaan bertujuan memastikan syarikat itu dapat terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa, selain mematuhi amalan tadbir urus yang baik.

PETRONAS turut menegaskan usul itu tidak bertujuan mencabar aspirasi pembangunan Sarawak atau menjejaskan peranan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) dalam sektor tenaga negeri berkenaan.

Menurut PETRONAS, keputusan memfailkan permohonan tersebut dibuat selepas rundingan berterusan sejak 2024 melibatkan PETROS, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak, walaupun perbincangan menunjukkan kemajuan dalam aspek komersial dan perkongsian, termasuk pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada 2020.

PETRONAS turut menyeru semua pihak supaya menghormati proses perundangan dan memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan membuat penilaian sewajarnya, sambil menegaskan operasi syarikat di Sarawak diteruskan seperti biasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button