Keputusan Najib boleh jalani hukuman di rumah diputuskan 5 Januari tahun depan
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 Januari depan sebagai tarikh keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh menjalani baki hukuman penjara di kediamannya atau perlu kekal di Penjara Kajang.
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat ketetapan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan Jabatan Peguam Negara dalam prosiding yang berlangsung hari ini.
Permohonan berkenaan berkait dengan dakwaan wujudnya Titah Adendum yang memberi ruang kepada bekas perdana menteri itu menjalani hukuman secara tahanan di rumah.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui menyatakan keyakinan dengan kekuatan kes yang dibawa, namun enggan membuat ulasan lanjut memandangkan keputusan masih menunggu pertimbangan mahkamah.
“Saya rasa kes kami sangat kukuh, tetapi saya tidak mahu bercakap terlalu banyak kerana keputusan belum dibuat.
“Responden berhujah bahawa adendum itu tidak disebut dalam dokumen pengampunan, tetapi bagi kami, adendum bukan isu pengampunan (pardon), ia adalah respite,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa respite bukan pengurangan hukuman dan tidak tertakluk kepada proses Lembaga Pengampunan.
“Sebaliknya,, ia adalah bentuk kelonggaran yang boleh diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa melalui lembaga tersebut,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, bahawa tiga perkara iaitu ‘pardon, respite dan remission’ sering disalah tafsir sebagai satu kategori yang sama sedangkan ketiga-tiganya berbeza mengikut perlembagaan.
Mengulas mengenai isu membawa perkara itu ke mahkamah, Shafee berkata Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disaman atau dibawa ke mahkamah kecuali dalam kesalahan peribadi yang hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Khas.
“Jika baginda tidak boleh disaman, maka keputusan baginda juga tidak boleh dipersoalkan,” katanya lagi.
Shafee turut memaklumkan pihaknya akan cuba memohon agar tarikh keputusan dibawa lebih awal sekiranya mendapat kelulusan mahkamah.
Mahkamah kini menunggu tarikh 5 Januari 2025 untuk memutuskan sama ada Najib akan dibenarkan menjalani hukuman di rumah atau kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang mengikut perintah asal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















