OKU didakwa cabul kanak-kanak dirujuk ke hospital bahagia
AMPANG – Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran yang disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor, akan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi penilaian kesihatan mental.
Tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, yang didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 10 tahun lapan bulan, dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini bagi sebutan semula kes.
Peguam bela tertuduh, Lingswaran Singh memohon kepada mahkamah supaya anak guamnya dihantar ke hospital kerajaan untuk penilaian psikiatri di bawah Seksyen 342(1) Kanun Prosedur Jenayah.
“Permohonan ini dibuat berikutan interaksi bersama tertuduh, maklumat daripada ibunya serta laporan psikologi oleh sebuah universiti awam pada 15 Julai 2022 yang menunjukkan kemungkinan besar tertuduh tidak waras dan tidak berupaya membela diri,” katanya
Menurutnya lagi, walaupun anak guamnya memiliki kad OKU, mahkamah perlu mendapatkan kepastian dari aspek psikiatri sama ada beliau benar-benar layak untuk dibicarakan, menurut laporan harian metro.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memaklumkan semua dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan, kecuali laporan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta laporan perubatan mangsa dari Hospital Selayang.
Hakim Norshila Kamaruddin kemudian menetapkan 22 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan laporan penilaian psikiatri, laporan perubatan dan forensik CCTV disiapkan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di Masjid Sungai Masin, Kampung Sungai Masin, Batang Kali kira-kira jam 6.20 pagi pada 21 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sebelum ini, tertuduh pada mulanya mengaku bersalah, namun menukar pengakuan kepada tidak bersalah pada 27 Mac lalu ketika sebutan semula kes di mahkamah yang sama.
Difahamkan, tertuduh kini ditahan di Pusat Koreksional Puncak Alam kerana keluarga tidak mampu membayar wang jaminan yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








