Enam individu direman SPRM, termasuk pengarah dan jurutera
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam individu termasuk dua penjawat awam bergelar Datuk dan seorang jurutera jabatan kerajaan di ibu negara, disyaki terlibat rasuah projek pembangunan dan senggaraan sejak 2021.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan kira-kira pukul 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Dua daripada suspek utama merupakan pengarah dan jurutera di sebuah jabatan kerajaan. Mereka dipercayai meminta serta menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang memperoleh kerja-kerja kontrak di bawah seliaan mereka.
“Turut ditahan ialah pasangan suami isteri, bapa salah seorang daripada mereka yang juga pemilik syarikat bergelar Datuk serta seorang lagi kontraktor.
“Kesemua individu ini dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam urusan penyaluran wang rasuah,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua penjawat awam berkenaan menerima suapan berjumlah kira-kira RM115,000 dalam bentuk wang tunai, pembiayaan kerja ubah suai rumah serta pemberian telefon bimbit.
“Modus operandi dipercayai melibatkan penggunaan syarikat milik ahli keluarga dan kenalan rapat untuk mendapatkan kontrak kerajaan. Sebagai balasan, sejumlah wang dan barangan mewah diberikan kepada penjawat awam yang terlibat,” tambahnya.
Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi tadi membenarkan perintah reman selama lima hari sehingga 24 Mei terhadap lima daripada suspek, manakala seorang lagi suspek direman selama tiga hari sehingga 22 Mei.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat oleh SPRM.
Semalam, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM melancarkan Op Kepala dengan serbuan ke atas 10 premis di Lembah Klang dan Johor.
“Dalam operasi berkenaan, dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux telah disita. SPRM turut merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM165,000 dan membekukan 95 akaun bank milik individu dan syarikat dengan jumlah keseluruhan dianggarkan hampir RM6 juta,” kata sumber terbabit.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan SPRM komited untuk membanteras rasuah di semua peringkat dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan peribadi.
“Kami memberi amaran tegas bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan tidak berintegriti ini,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








