Bekas Naib Canselor UPSI dihukum penjara kerana salah guna kuasa
IPOH- Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 kepada bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Zakaria Kasa atas kesalahan salah guna kuasa yang dilakukan kira-kira sembilan tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo membuat penghakiman itu sekali gus mengetepikan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen sebelum ini yang melepaskan dan membebaskan tertuduh.
Bagaimanapun Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap tertuduh yang kini berusia 66 tahun.
Tertuduh bagaimanapun diarah menjelaskan denda yang diputuskan dan diarah menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal berbuat demikian, lapor Berita Harian.
Zakaria didakwa menggunakan jawatannya ketika itu dengan mengarahkan Mohd Faizi Othman iaitu Pendaftar UPSI untuk memasukkan nama anak lelakinya, Mohd Fauzi Zakaria, untuk dipanggil temu duga pada 12 September 2014.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik Naib Canselor di Bangunan Canselor UPSI di Tanjung Malim antara 24 Jun hingga 12 September 2014.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sebelum ini, Mahkamah Seksyen Ipoh melepaskan dan membebaskan Zakaria daripada pertuduhan salah guna kuasa itu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








