59 laporan diterima, polis sahkan Tony Pua akan dipanggil rakam keterangan
SHAH ALAM – Polis mengesahkan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua akan dipanggil untuk direkod keterangan dalam masa terdekat berhubung kenyataannya yang mendakwa kuasa raja di negara ini terhad.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat pagi tadi, sebanyak 59 laporan polis telah dibuat membabitkan kenyataan yang dimuat naik oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu.
“Laporan polis itu dibuat di seluruh negara dan tidak melibatkan IPK ini sahaja. Siasatan bagaimanapun akan dijalankan oleh IPK Selangor.
“Justeru, saya akan memberikan reaksi-reaksi dan komen berdasarkan keperluan-keperluan semasa, insya-Allah kita akan laksanakannya,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor, di sini, hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan polis membuka siasatan terhadap Pua susulan hantaran dimuat naik di laman Facebook miliknya kelmarin mengulas mengenai isu titah dan Rukun Negara.
Tindakan itu susulan bekas wakil rakyat DAP itu dilapor mendakwa kuasa raja secara keseluruhannya di bawah sistem Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini terhad.
Beliau mendakwa, sistem itu terhad kepada kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berperlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















