Sungai Pahang semakin kering, boleh dilalui pejalan kaki
MARAN – Sungai Pahang di Kampung Pesagi, di sini semakin cetek dan kering sehingga boleh dilalui pejalan kaki serta penunggang motosikal, malah sebahagian dasarnya kini mula ditumbuhi rumput.
Keadaan itu menyebabkan kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai lubuk ikan dengan dasar sungai yang dalam dan arus deras kini berubah menjadi daratan berpasir.
Lebih membimbangkan, kawasan kering berkenaan dilaporkan bertambah panjang daripada kira-kira tiga kilometer tiga tahun lalu kepada enam kilometer ketika ini.
Seorang penduduk, Ahmad Tarmizi Yusuf, 56, berkata, keadaan itu berlaku sepanjang tahun di cabang sungai berhampiran jalan Kampung Pesagi dan bukan hanya ketika musim kemarau.
“Memang sudah berubah kalau dulu ini adalah sungai tetapi ia sudah menjadi ‘padang pasir’, kalau ada hujan pun hanya ada air di kawasan alur sahaja dan menjadi seakan kubang (lopak) sahaja.
“Tidak tahu apa puncanya dan keadaan ini sebenarnya menyukarkan kami yang terpaksa berjalan jauh di atas pasir untuk ke bot yang diletakkan di cabang sungai bersebelahan.
“Dengan keadaan panas terik seperti ini pasir sungai terlalu panas sehingga kaki hampir melecur berjalan di atasnya,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurutnya, terdapat pam pasir yang beroperasi di cabang sungai bersebelahan dan menyebabkan kawasan berkenaan masih dipenuhi air.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mengambil tindakan segera termasuk mengorek dan memindahkan pasir bagi memulihkan semula keadaan sungai.
Sementara itu, penternak ikan sangkar, Khairul Nizam Omar, 43, berkata, keadaan sungai yang semakin cetek menyebabkan beliau mengalami kerugian dan tidak lagi dapat menjalankan penternakan ikan patin di kawasan berkenaan.
Katanya, walaupun kawasan sangkarnya sebelum ini antara lokasi paling dalam di situ, keadaan air yang semakin surut menyebabkan aktiviti penternakan tidak dapat diteruskan.
Beliau terpaksa memindahkan kesemua 60 sangkar ikan miliknya ke kawasan lain yang terletak lebih jauh dari rumahnya di Kampung Pesagi.
“Sejak tiga tahun ini kawasan ini seakan tidak berubah dan menjadi padang pasir, jadi kami harap keadaan ini dapat dipulihkan semula,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


