BISNES & EKONOMI

Entiti Labuan wajib fail penyata di bawah sistem taksir sendiri mulai tahun ini – LHDN

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini mengumumkan pelaksanaan Program Memfail Penyata Keuntungan oleh Suatu Entiti Labuan bagi Tahun Taksiran 2025 di bawah Sistem Taksir Sendiri (STS), yang kini boleh diakses melalui portal rasmi miliknya.

Program itu bertujuan memberi panduan kepada semua entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perniagaan Labuan mengenai kewajipan percukaian mereka selaras dengan pelaksanaan STS.

Bermula Tahun Taksiran 2025, STS akan digunakan ke atas entiti Labuan hasil daripada pindaan kepada Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (ACAPL 1990) melalui Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No. 2) 2024 [Akta A1741].

Menurutnya dalam satu kenyataan, pindaan tersebut bertujuan menyelaraskan sistem percukaian entiti Labuan dengan sistem yang sedia ada di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967.

“Menerusi pelaksanaan STS, setiap entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perniagaan perlu mengemukakan penyata keuntungan dan membayar cukai atau baki cukai yang kena dibayar dalam tempoh tujuh bulan selepas tarikh penutupan tempoh perakaunan yang menjadi asas kepada tahun taksiran berkenaan.

“Kegagalan untuk mematuhi ketetapan ini boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Seksyen 23A ACAPL 1990, selain dikenakan kenaikan cukai di bawah Seksyen 11 akta yang sama,” menurut kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, pindaan itu juga memperuntukkan entiti Labuan hendaklah mengemukakan penyata keuntungan melalui media elektronik, melaporkan pendapatan berdasarkan penyata kewangan teraudit serta memastikan maklumat yang dikemukakan adalah tepat dan lengkap.

LHDN menyeru semua pemegang taruh untuk membuat persediaan awal dan merujuk kepada dokumen panduan yang disediakan di portal rasmi agensi itu bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap pelaksanaan STS itu.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan melalui Pusat Panggilan HASiL di 03-8911 1000 (atau 603-8911 1000 bagi panggilan dari luar negara), HASiL Live Chat atau melalui Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button