BERITA SEMASA

Kerajaan selesai bayar balik lebihan cukai RM14.7 bilion sehingga Jun

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melunaskan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM14.7 bilion melibatkan 3.17 juta kes pembayar cukai setakat 30 Jun 2026, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF memaklumkan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.75 bilion dibayar kepada 3.1 juta pembayar cukai individu, manakala RM8.95 bilion lagi disalurkan kepada 76,511 pembayar cukai syarikat termasuk 23,356 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurut kementerian itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASIL) telah melaksanakan pelbagai strategi bagi memperkukuh urusan bayaran balik lebihan cukai secara lebih adil dan saksama.

“HASIL turut memastikan peruntukan bayaran balik daripada kerajaan diagihkan secara teratur dan berkesan berdasarkan usia tunggakan kes serta memberi keutamaan kepada PMKS dan syarikat yang berdepan masalah aliran tunai,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai jumlah terkini tunggakan bayaran balik lebihan cukai yang masih belum dijelaskan kepada pembayar cukai individu dan syarikat setakat 31 Mei 2026.

MOF berkata, bagi kes bayaran balik yang masih dalam proses semakan maklumat dan dokumen tambahan yang dikemukakan pembayar cukai, kerajaan komited memastikan semua tunggakan dapat diselesaikan dengan segera.

Menurutnya, langkah berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian di samping memastikan hak pembayar cukai terus terpelihara.

“Usaha ini selaras dengan agenda reformasi fiskal Kerajaan MADANI yang menekankan tadbir urus lebih cekap, telus dan berkesan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button