BERITA SEMASA

Tun M hargai ucapan sempena ulang tahun kelahiran ke-101

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang mengirimkan ucapan, doa dan kad sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-101 pada hari ini.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook rasminya, negarawan itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengingatinya pada hari istimewa tersebut.

tun m
Poster hari lahir negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencecah usia 101 tahun hari ini. – Foto Facebook Dr Mahathir Mohamad

“Assalamualaikum. Saya ingin ucap terima kasih kepada semua yang hantar mesej berkenaan dengan hari kelahiran saya yang ke-101 pada hari ini.

“10 hari bulan, saya meningkat kepada 101 tahun umur dan saya terima banyak kad-kad (ucapan ‘happy birthday’, selamat hari jadi) dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua,” katanya.

Terdahulu, akaun Instagram rasminya, @chedetofficial turut memuat naik poster khas memaparkan potret beliau bersama angka ‘101’ berwarna emas serta tanda pagar #Mahathir101.

Hantaran itu menerima puluhan ribu tanda suka selain dibanjiri ucapan tahniah, doa dan penghargaan daripada orang ramai yang mengenang jasa serta sumbangan beliau kepada negara.

Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah dan pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat serta ketujuh.

Beliau mencipta sejarah apabila kembali menerajui pentadbiran negara pada 2018 ketika berusia 92 tahun, sekali gus menjadi antara ketua kerajaan tertua di dunia yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Sementara itu, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dijadual menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pada Ahad ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button