HASiL umum pelanjutan tempoh pelaksanaan PKPS Duti Setem 2026
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengumumkan pelanjutan tempoh pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Duti Setem 2026 selama enam bulan bermula 1 Julai ini hingga 31 Disember 2026.
HASiL dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelanjutan tempoh itu adalah usaha kerajaan untuk terus menggalakkan pematuhan penyeteman secara sukarela selain memberi ruang kepada pembayar duti yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS).
Inisiatif itu juga dijangka dapat mengurangkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Setem 1949 serta meningkatkan tahap pematuhan secara berterusan.
“Sehubungan itu, pembayar duti hendaklah memastikan proses penyeteman dan pembayaran duti setem disempurnakan dalam tempoh PKPS Duti Setem 2026 yang dilanjutkan, tertakluk kepada beberapa syarat.
“Antara syaratnya adalah semua surat cara yang disempurnakan mulai 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 layak untuk dikecualikan penalti berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Pemungut Duti Setem di bawah subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949 serta penyeteman dan bayaran duti setem hendaklah dibuat dalam tempoh 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026.
“Syarat lain adalah tiada permohonan rayuan penalti perlu dikemukakan dan penalti akan dikecualikan secara automatik apabila duti setem dibayar, PKPS Duti Setem 2026 ini tidak terpakai bagi kes yang berunsurkan fraud selain semua surat cara yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 dan disetemkan di bawah PKPS Duti Setem 2026 tidak akan diaudit,” kata kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, PKPS Duti Setem 2026 tidak mengecualikan pembayar duti daripada diaudit ke atas surat cara lain yang tidak disetemkan di bawah program ini.
Pada masa sama, HASiL turut menyarankan pembayar duti supaya mengemukakan permohonan penyeteman serta membuat bayaran duti setem lebih awal.
Langkah itu bagi memastikan notis taksiran boleh dikeluarkan dalam tempoh PKPS dan bayaran duti setem dapat dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang untuk turut serta dalam PKPS Duti Setem 2026 yang dilanjutkan ini dan pelaksanaan ini diharapkan dapat menyokong kemampanan fiskal negara serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







