Kerajaan perkenal Hari Bekerja Hibrid dalam perkhidmatan awam
PUTRAJAYA – Hari Bekerja Hibrid (HBH) akan menjadi norma baharu dalam perkhidmatan awam bermula 1 Ogos ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan HBH dipersetujui Jemaah Menteri dan merupakan satu inisiatif baharu kerajaan mengenai pengaturan kerja yang lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa mengurangkan waktu bekerja.
Menerusi inisiatif berkenaan, penjawat awam dibenarkan bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan, dan tiga hari di pejabat dengan tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat ditetapkan.
Pelaksanaan itu, kata JPA, akan menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik Asia Barat yang sedang berkuat kuasa.
“Penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan, dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat ditetapkan,” kata JPA dalam kenyataan tersebut.
JPA turut memaklumkan, pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting (essential services) kerajaan kepada rakyat.
Menurutnya, perkhidmatan kaunter serta fungsi yang memerlukan kehadiran fizikal akan terus beroperasi seperti biasa, termasuk sektor keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah.
Bagi negeri-negeri Hari Kelepasan Mingguan (HKM) pada Ahad, JPA memaklumkan bahawa Isnin dan Jumaat ditetapkan sebagai hari kehadiran wajib ke pejabat.
Bagi negeri yang menetapkan HKM pada Jumaat membabitkan Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, Ahad dan Khamis ialah hari kehadiran wajib ke pejabat.
JPA memaklumkan, inisiatif HBH adalah sebahagian daripada agenda reformasi berterusan kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam melalui amalan kerja berorientasikan hasil serta pemanfaatan teknologi digital.
Sistem pemantauan akan dilaksana bagi memastikan integriti, prestasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berada pada tahap terbaik.
“Kaedah bekerja secara hibrid turut dilaksanakan di negara seperti Singapura, Australia, Finland dan Sweden,” menurut kenyataan itu.
Garis panduan dan syarat pelaksanaan HBH akan dikeluarkan oleh JPA dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








