BERITA SEMASA

Urus niaga BUDI95 tanpa pengesahan fizikal MyKad tidak dibenarkan

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan sebarang urus niaga BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan.

Menurut MOF dalam satu kenyataan, tindakan sedemikian membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program BUDI95.

MOF memaklumkan, pihaknya memandang serius beberapa aduan membabitkan dakwaan penggunaan maklumat MyKad tanpa kebenaran bagi transaksi di bawah program berkenaan.

Jelas kenyataan itu, penggunaan atau pemilikan MyKad milik orang lain tanpa kuasa yang sah adalah satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“MOF sudah mengarahkan syarikat peruncit minyak supaya memperketat pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI95.

“Sebarang urus niaga yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana ia membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Dalam masa sama, MOF juga sudah mengarahkan syarikat peruncit minyak untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap stesen berkenaan.

Malah, arahan juga dikeluarkan bagi memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen minyak.

“Langkah-langkah pembetulan turut dikeluarkan, termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran serta penyaluran dan pampasan yang bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan.

“Syarikat peruncit minyak juga sudah diarahkan untuk menghubungi pemegang MyKad yang terkesan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.

MOF akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar.

“Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, penerima BUDI95 turut digalakkan menyemak rekod transaksi masing-masing di portal BUDI MADANI dan segera membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi tanpa kebenaran.

“Penerima BUDI95 yang terkesan akibat transaksi tanpa kebenaran boleh membuat aduan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian kepada Pusat Khidmat BUDI MADANI (BMCC) dengan melampirkan dokumen berikut untuk tindakan selanjutnya.

“Dokumen itu ialah laporan polis yang menyatakan tarikh, masa dan butiran stesen minyak berkaitan, salinan kad pengenalan dan senarai transaksi yang dikemukakan dalam laporan polis,” katanya.

Aduan boleh dikemukakan kepada BMCC melalui talian 1300-88-9595, WhatsApp di +603-2631 4595 atau e-mel ke tanya@budi95.gov.my. BMCC beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button