BERITA SEMASADALAM NEGERI

HASiL galak pembayar cukai mohon e-Invois bagi tuntutan pelepasan individu

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menggalakkan pembayar cukai memohon e-Invois bagi setiap transaksi perbelanjaan berkaitan pelepasan cukai individu sebagai persediaan kepada pelaksanaan sistem pengisian maklumat secara praisi mulai Tahun Taksiran 2026.

HASiL dalam satu kenyataan berkata, langkah itu selaras dengan pelaksanaan e-Invois secara berperingkat yang dilihat mampu memperkukuh ekosistem percukaian digital negara selain memudahkan urusan pematuhan cukai.

Menurut kenyataan itu, pendekatan berkenaan merupakan langkah proaktif ke arah projek rintis pengisian maklumat pelepasan cukai secara praisi berasaskan data transaksi e-Invois ke dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan.

Antara kategori perbelanjaan yang berpotensi dipraisi termasuk pembelian komputer peribadi atau telefon pintar, perbelanjaan gaya hidup, insurans, yuran taman asuhan kanak-kanak serta pelepasan lain yang ditetapkan.

“Bagi mendapatkan e-Invois, pembeli perlu mengemukakan nombor pengenalan diri atau nombor pengenalan cukai (TIN) kepada penjual supaya e-Invois dapat dikeluarkan dengan tepat,” menurut kenyataan itu hari ini.

HASiL berkata, penggunaan e-Invois bukan sahaja memudahkan pembeli dari segi pengurusan dan penyimpanan rekod, malah semakan transaksi serta pelepasan cukai juga boleh dibuat menerusi Portal MyInvois.

Sehubungan itu, pembayar cukai yang memerlukan bantuan atau khidmat nasihat berkaitan e-Invois boleh menghubungi HASiL menerusi Pejabat HASiL, Meja Bantuan e-Invois di talian 03-8682 8000 yang beroperasi 24 pukul sehari, MyInvois Live Chat atau e-mel ke myinvois@hasil.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button