GAYA HIDUPRENCANA

HASiL lancar e-Rayuan berfasa, permudah urusan rayuan cukai secara digital

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memperkenalkan kemudahan e-Rayuan secara berfasa sebagai langkah memperkukuh pendigitalan perkhidmatan percukaian sekali gus memudahkan pembayar cukai mengemukakan rayuan berkaitan taksiran cukai secara dalam talian.

Buat permulaan, capaian awal e-Rayuan diberikan kepada pembayar cukai di Cawangan Pembayar Cukai Besar serta HASiL Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sebelum diperluaskan kepada kumpulan pembayar cukai lain secara berperingkat.

LHDN
Kemudahan e-Rayuan secara berfasa merupakan langkah memperkukuh pendigitalan perkhidmatan percukaian. – Foto Hiasan

Menurut HASiL, pengenalan e-Rayuan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, mengukuhkan ketelusan pentadbiran dan memudahkan urusan pembayar cukai dalam persekitaran digital.

“Pelaksanaan e-Rayuan membolehkan pembayar cukai mengemukakan rayuan dan permohonan lanjutan tempoh secara lebih mudah, cepat dan selamat tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat HASiL,” menurut kenyataan HASiL.

Melalui kemudahan itu, pembayar cukai boleh mengemukakan Borang Q (notis rayuan terhadap taksiran) dan Borang N (permohonan lanjutan tempoh rayuan) sepenuhnya secara dalam talian menerusi Portal MyTax.

HASiL menjelaskan, pendekatan digital tersebut bukan sahaja menjimatkan masa malah meningkatkan ketepatan pemprosesan serta menawarkan pengalaman pengguna yang lebih lancar dan teratur.

Pendekatan digital HASiL mampu meningkatkan ketepatan pemprosesan serta menawarkan pengalaman pengguna yang lebih lancar dan teratur. – Foto Hiasan

Dalam aspek perundangan, pembayar cukai berhak mengemukakan rayuan sekiranya tidak bersetuju dengan taksiran yang dikeluarkan, tertakluk kepada tempoh 30 hari selepas notis taksiran disampaikan, selaras dengan subseksyen 99(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sekiranya tempoh itu terlepas, pembayar cukai masih boleh memohon lanjutan masa melalui Borang N dengan mengemukakan alasan munasabah seperti masalah kesihatan, bencana alam atau berada di luar negara.

“HASiL akan meneliti setiap permohonan dan rayuan yang diterima secara profesional serta mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak,” menurut kenyataan itu lagi.

HASiL turut memaklumkan bahawa sekiranya sesuatu rayuan tidak dapat dipersetujui di peringkat HASiL Negeri atau Cawangan Khas, kes tersebut akan dirujuk ke Jabatan Resolusi Pertikaian untuk semakan lanjut.

Selain itu, pembayar cukai juga boleh memohon Prosiding Resolusi Pertikaian (PRP) iaitu satu platform perbincangan rasmi dan tertutup yang memberi peluang kepada kedua-dua pihak membentangkan hujah serta mencari penyelesaian tanpa perlu melalui prosiding mahkamah.

LHDN Ibu Pejabat
Ibu Pejabat HASiL di Cyberjaya. – Foto Hiasan

Menurut HASiL, pelaksanaan e-Rayuan secara berfasa mencerminkan komitmen agensi itu ke arah pendigitalan menyeluruh perkhidmatan percukaian, sejajar dengan aspirasi meningkatkan keyakinan awam dan memudahkan pematuhan cukai.

Maklumat lanjut berkaitan e-Rayuan boleh didapati di laman sesawang rasmi HASiL di www.hasil.gov.my/rayuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button