GAYA HIDUPRENCANA

Cukai bukan beban: Fahami tanggungjawab anda melalui e-Filing

SETIAP kali tibanya musim e-Filing, tidak dinafikan ramai yang mula berasa resah.

Ada yang tertanya-tanya, “Perlu ke buat sekarang?” dan tidak kurang juga yang memilih untuk menangguhkan sehingga ke saat akhir.

Hakikatnya, pengurusan cukai bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya merupakan satu tanggungjawab penting yang jika difahami dengan baik, boleh dilaksanakan dengan mudah, cepat dan teratur.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam satu kenyataan berkata, e-Filing bukan sekadar platform untuk melaporkan pendapatan, malah merupakan satu sistem komprehensif yang memudahkan urusan percukaian rakyat Malaysia secara menyeluruh.

“Cukai bukan beban, sebaliknya tanggungjawab setiap individu.

“Melalui Portal MyTax, pembayar cukai kini boleh menguruskan kewajipan mereka dengan hanya beberapa langkah mudah tanpa perlu beratur di kaunter atau mengisi borang secara manual,” katanya.

Portal MyTax memberi kemudahan kepada pembayar cukai dalam melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cepat dan selamat.

Walau bagaimanapun, sebelum memulakan proses pengisian e-Filing, terdapat beberapa perkara penting yang perlu difahami bagi memastikan pengemukaan borang dilakukan dengan tepat dan lancar.

Jangan abaikan tarikh penting

Menurut HASiL, perkara paling asas namun sering diabaikan oleh pembayar cukai ialah tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan.

Setiap kategori pembayar cukai mempunyai tempoh yang berbeza untuk mengemukakan borang masing-masing.

Bagi individu yang menerima pendapatan penggajian, tarikh akhir pengemukaan adalah pada atau sebelum 30 April, dengan tambahan masa sehingga 15 Mei bagi pengemukaan melalui e-Filing.

hasil
Pembayar cukai perlu peka terhadap tarikh akhir penghantaran borang bagi mengelakkan tindakan penalti.

Manakala bagi individu yang menjalankan perniagaan, tempoh pengemukaan adalah sehingga 30 Jun, dengan lanjutan masa sehingga 15 Julai.

Kelewatan dalam mengemukakan borang bukan sahaja boleh menjejaskan kelancaran urusan percukaian, malah berisiko menyebabkan pembayar cukai dikenakan tindakan penalti.

“Justeru, pematuhan terhadap tarikh akhir yang ditetapkan merupakan langkah penting dalam memastikan tanggungjawab percukaian dilaksanakan dengan baik dan teratur,” tegas HASiL.

Dokumen lengkap, urusan lebih mudah

Dalam pada itu, HASiL turut mengingatkan pembayar cukai supaya menyediakan dokumen lengkap sebelum memulakan proses e-Filing.

“Bayangkan anda ingin mengisi e-Filing, namun dokumen penting tidak disediakan dengan lengkap.

“Situasi ini bukan sahaja melambatkan proses pengemukaan borang, malah berisiko menyebabkan kesilapan dalam pelaporan pendapatan dan tuntutan pelepasan cukai,” katanya.

hasil
Pembayar cukai perlu menyediakan dokumen lengkap sebelum memulakan proses e-Filing. – Foto Hiasan

Antara dokumen utama yang perlu disediakan termasuk penyata pendapatan tahunan seperti Borang EA atau EC, penyata bank, resit perubatan, insurans serta bukti perbelanjaan berkaitan dengan pelepasan cukai.

Setiap dokumen ini memainkan peranan penting dalam memastikan jumlah cukai yang dilaporkan adalah tepat.

Lebih penting lagi, penyediaan dokumen yang lengkap membolehkan pembayar cukai memanfaatkan sepenuhnya pelepasan cukai yang layak dituntut.

Akses mudah di hujung jari

Dengan pelaksanaan perkhidmatan digital secara menyeluruh, pembayar cukai kini boleh mengakses sistem e-Filing melalui Portal MyTax pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Bagi pengguna baharu, proses pendaftaran juga telah dipermudahkan melalui kaedah pengesahan identiti secara dalam talian seperti e-KYC.

Langkah pendigitalan membuktikan sistem percukaian negara semakin efisien seiring dengan perkembangan teknologi. – Foto Hiasan

Sekiranya pengguna terlupa kata laluan atau menghadapi masalah akses, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi membantu mendapatkan semula akses. Pengguna hanya perlu memilih fungsi “Lupa Kata Laluan” dan menetapkan semula kata laluan melalui e-mel yang telah didaftarkan.

Sekiranya e-mel berdaftar tidak lagi digunakan, penukaran atau pengemaskinian e-mel baharu boleh dilakukan melalui Borang Maklum Balas Pelanggan di laman rasmi HASiL.

Langkah pendigitalan ini membuktikan sistem percukaian negara semakin efisien dan selari dengan perkembangan teknologi, sekali gus memudahkan rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih yakin dan teratur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button