BERITA SEMASA

Program Memfail Borang Nyata 2026 kini boleh diakses di portal rasmi HASiL

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa Program Memfail Borang Nyata (BN) bagi Tahun 2026 kini boleh diakses melalui portal rasmi HASiL sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai dalam melaksanakan tanggungjawab percukaian mereka tahun ini.

HASiL dalam satu kenyataan memaklumkan, dokumen berkenaan telah dimuat naik bermula 1 Januari 2026 dan boleh dimuat turun melalui portal rasmi www.hasil.gov.my di bawah menu Borang Program Memfail Borang Nyata.

Menurut HASiL, program itu bertujuan membantu pembayar cukai merancang dan memahami tarikh penting pengemukaan Borang Nyata bagi Tahun Taksiran 2025 serta proses e-Filing yang akan bermula pada 1 Mac 2026.

“Dalam usaha memudahkan pelaporan cukai, majikan digalakkan mengemukakan maklumat saraan dan potongan pekerja melalui sistem e-C.PSD selewat-lewatnya pada 26 Februari 2026.

“Maklumat saraan yang diterima akan digunakan untuk tujuan praisi ke dalam e-Borang pekerja seperti e-BE, e-B, e-BT, e-M dan e-MT bagi Tahun Taksiran 2025,” menurut kenyataan itu.

HASiL menjelaskan, pekerja boleh menyemak dan membuat pindaan terhadap data praisi dalam e-Borang masing-masing sekiranya terdapat perubahan sebelum borang ditandatangani dan dihantar.

Dalam perkembangan berkaitan, HASiL turut memaklumkan bahawa mulai Tahun Taksiran 2025, Sistem Taksir Sendiri (STS) diperkenalkan kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perniagaan Labuan, selaras dengan pindaan kepada Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990.

Pelaksanaan STS itu bertujuan menyeragamkan sistem taksiran cukai di Labuan agar selari dengan sistem sedia ada di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967.

Selain itu, HASiL turut mengumumkan peluasan keperluan pengemukaan dokumen di bawah Seksyen 82B Akta Cukai Pendapatan 1967 mulai Tahun Taksiran 2026.

Keperluan itu melibatkan pembayar cukai kategori Unit Amanah dan Amanah Harta Tanah (TC), Koperasi (CS), Badan Amanah (TA) serta Amanah Pelaburan Harta Tanah atau Tabung Amanah Harta (TR) selain syarikat dan Perkongsian Liabiliti Terhad yang telah dilaksanakan mulai Tahun Taksiran 2025.

Sebagai panduan, maklumat lanjut berkaitan Program Memfail Dokumen Yang Ditentukan di bawah Seksyen 82B boleh diakses melalui portal MyTax.

“HASiL komited untuk terus memperkasakan sokongan dan bimbingan kepada pembayar cukai bagi memastikan pelaksanaan tanggungjawab percukaian secara telus dan efisien,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklum balas boleh menghubungi Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000, menggunakan perkhidmatan HASiL Live Chat atau mengemukakan maklum balas melalui portal rasmi HASiL.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button