BERITA SEMASA

RM22.5 bilion bayaran balik cukai selesai diproses pada 2025 – HASiL

CYBERJAYA – Sebanyak RM22.5 bilion melibatkan 3,713,025 kes bayaran balik cukai telah selesai diproses pada tahun lalu.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) berkata, jumlah itu termasuklah peruntukan tambahan bayaran balik berjumlah RM3.5 bilion yang telah diterima pihaknya pada 25 hingga 31 Disember 2025.

“Dana tambahan RM3.5 bilion yang diperuntukkan telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik yang berusia satu ke dua tahun dengan tumpuan diberikan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Susulan Amanat Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri, HASiL komited untuk menyelesaikan bayaran balik cukai yang berbangkit dalam Tahun Taksiran 2023 pada suku pertama tahun 2026 dan bayaran balik cukai yang berbangkit dalam Tahun Taksiran 2024 pada hujung tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, HASiL juga ingin menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada HASiL adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.

Ini kerana katanya, terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul.

“Selanjutnya juga, tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan.

“HASiL akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button