PKPS e-Invois dilancar, pembayar cukai diberi peluang buat pembetulan tanpa penalti sehingga akhir 2027
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) memperkenalkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois yang berkuat kuasa serta-merta sehingga 31 Disember 2027 bagi memberi peluang kepada pembayar cukai mengemas kini dan membetulkan pelaksanaan e-Invois tanpa dikenakan sebarang penalti.
Menurut HASiL dalam kenyataan, pelaksanaan program itu adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini mengenai langkah tambahan bagi mengurangkan kos pematuhan pembayar cukai, khususnya melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“PKPS e-Invois ditawarkan kepada tiga kategori pembayar cukai iaitu mereka yang telah melaksanakan e-Invois mengikut garis masa ditetapkan tetapi tidak mengemukakannya sepenuhnya bagi transaksi tertentu, mereka yang mengemukakan e-Invois namun terdapat kesilapan atau maklumat tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan serta mereka yang gagal mengemukakan e-Invois bagi mana-mana tempoh bermula daripada tarikh pelaksanaan mandatori,” katanya hari ini.
Menurut HASiL, pembayar cukai yang menyertai program itu perlu memastikan pengakuan sukarela dibuat melalui pengemukaan e-Invois yang tepat serta mematuhi Garis Panduan Umum dan Garis Panduan Spesifik e-Invois.
Katanya, inisiatif tersebut memberi ruang kepada pembayar cukai untuk tampil secara sukarela bagi menyemak, mengemas kini dan membetulkan maklumat berkaitan keperluan pengeluaran e-Invois tanpa dikenakan penalti, sekali gus menyokong aspirasi pendigitalan operasi perniagaan negara.
Sebagai galakan kepada pembayar cukai yang mematuhi sepenuhnya pelaksanaan e-Invois, katanya, kerajaan turut bersetuju mempercepat pemberian insentif cukai dengan membenarkan tuntutan penuh elaun modal dalam tempoh satu tahun bagi perbelanjaan pembelian kelengkapan teknologi maklumat (ICT) serta kos pembangunan atau pengubahsuaian perisian komputer yang digunakan untuk pelaksanaan e-Invois.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau khidmat nasihat, pembayar cukai boleh mengunjungi pejabat HASiL, menghubungi Meja Bantuan e-Invois di talian 03-8682 8000 yang beroperasi 24 jam, menggunakan MyInvois Live Chat, menghantar e-mel kepada myinvois@hasil.gov.my atau mengemukakan pertanyaan melalui Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















