GAYA HIDUPINISIATIF KERAJAANRENCANA

e-Invois Bil Kendiri: Elak kekeliruan, perkukuh integriti rekod cukai

DALAM landskap percukaian yang semakin dipacu teknologi, kefahaman yang tepat terhadap pelaksanaan sistem e-Invois menjadi kunci kepada kejayaan agenda pendigitalan negara.

Justeru, dalam usaha memperkukuh ketelusan serta meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sedang melaksanakan sistem e-Invois secara berperingkat.

“Pendekatan ini memastikan semua urus niaga direkodkan secara digital dan teratur serta mematuhi keperluan undang-undang.

“Pelaksanaan ini turut menyokong agenda pendigitalan negara dan menyelaraskan sistem percukaian Malaysia dengan standard antarabangsa yang menekankan ketelusan transaksi dan integriti data,” kata HASiL dalam satu kenyataan.

Melalui pelaksanaan e-Invois, HASiL dapat memastikan kecekapan pelaporan perniagaan yang efisyen, meningkatkan pematuhan cukai serta ketelusan sistem percukaian sekaligus mengatasi isu ketirisan hasil negara.

e-Invois HASiL
Melalui sesi dialog dan libat urus, statistik menunjukkan pelaksanaan e-Invois menerima sambutan memberangsangkan apabila lebih 820.5 juta e-Invois telah dikeluarkan.

Penggunaan rekod transaksi digital yang sahih turut diyakini mampu meningkatkan tahap pematuhan cukai serta mengukuhkan keyakinan pelabur dan masyarakat terhadap sistem percukaian negara.

Salah satu elemen penting dalam kerangka pelaksanaan ini ialah e-Invois bil kendiri (self-billed e-Invoice) iaitu mekanisme yang membolehkan pembeli atau pihak yang membuat bayaran mengeluarkan e-Invois bagi pihak pembekal dalam situasi tertentu sebagaimana diperincikan oleh HASiL dalam Seksyen 8, Garis Panduan Spesifik e-Invois.

Walaupun mekanisme ini diperuntukkan secara sah, kefahaman tepat terhadap skop, tujuan dan had penggunaannya amat penting bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan pematuhan selari dengan objektif asal pelaksanaannya.

“e-Invois bil kendiri bukanlah pengganti kepada e-Invois biasa, sebaliknya satu mekanisme khas yang hanya terpakai dalam keadaan tertentu,” jelas HASiL.

Apakah e-Invois Bil Kendiri?

Secara asasnya, penyediaan invois merupakan tanggungjawab pembekal sebagai rekod hasil dan bukti urus niaga.

Namun, terdapat kategori transaksi tertentu yang membenarkan pembeli mengeluarkan e-Invois bil kendiri, sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 8, Garis Panduan Spesifik e-Invois yang dikeluarkan HASiL.

e-Invois HASiL
Poster menunjukkan mekanisme penggunaan e-Invois bil kendiri yang dikeluarkan HASiL.

Mekanisme ini memastikan urus niaga yang melibatkan pihak yang tidak diwajibkan mengeluarkan e-Invois termasuk pembekal luar negara, individu bukan perniagaan dan urus niaga khas seperti bayaran faedah tertentu, pampasan serta pembelian balik saham, tetap direkodkan secara sah dan mematuhi perundangan percukaian.

Antara kategori urus niaga yang mewajibkan pengeluaran e-Invois bil kendiri ialah:

  • Pembayaran kepada ejen, pengedar atau pengagih
  • Pembelian barangan atau perkhidmatan daripada pembekal luar negara
  • Agihan keuntungan seperti dividen
  • Transaksi e-Dagang
  • Pembayaran kemenangan pertaruhan atau perjudian
  • Transaksi dengan individu yang tidak menjalankan perniagaan
  • Pembayaran faedah tertentu seperti ditetapkan dalam garis panduan
  • Pembayaran tuntutan, pampasan atau manfaat insurans
  • Urus niaga melibatkan pengurangan modal, penebusan atau pembelian balik saham atau unit

Dalam situasi ini, pembeli bertindak sebagai ‘pembekal’ bagi tujuan pengeluaran e-Invois.

Dokumen tersebut perlu dikemukakan kepada HASiL melalui Portal MyInvois atau integrasi API untuk pengesahan sebelum digunakan sebagai rekod perakaunan dan percukaian yang sah.

Tidak Terpakai Untuk Semua Urus Niaga

HASiL menegaskan bahawa e-Invois bil kendiri tidak terpakai bagi urus niaga biasa yang melibatkan pembekal tempatan yang diwajibkan mengeluarkan e-Invois. Dalam keadaan tersebut, tanggungjawab kekal di bawah pembekal.

“Mekanisme bil kendiri ini berfungsi untuk menutup jurang pematuhan dalam situasi tertentu sahaja, bagi memastikan rekod cukai kedua-dua pihak kekal lengkap, seragam dan selari dengan keperluan undang-undang.

“Penggunaan yang tepat membantu mengelakkan pertindihan invois, percanggahan rekod serta ketirisan hasil negara,” jelasnya.

Tanggungjawab Pembeli

Dalam pengeluaran e-Invois bil kendiri, HASiL menetapkan empat tanggungjawab utama kepada pembeli:

1. Mengemukakan e-Invois kepada HASiL untuk pengesahan
2. Memastikan butiran transaksi direkodkan dengan tepat, jelas dan lengkap
3. Mengemukakan e-Invois yang disahkan kepada pembekal sebagai bukti urus niaga
4. Mematuhi tempoh masa pengeluaran invois yang ditetapkan

Ketetapan ini bertujuan memastikan integriti data dan keseragaman rekod percukaian antara pihak yang terlibat.

Ke arah Sistem Percukaian Moden, Berintegriti

Sebagai sebahagian daripada kerangka besar pelaksanaan e-Invois, mekanisme bil kendiri menyokong pembentukan sistem percukaian yang lebih tersusun, telus dan berkesan.

Penyepaduan data digital dijangka meningkatkan keberkesanan audit, mengurangkan risiko pemalsuan dokumen serta membantu kerajaan mengekang ketirisan hasil.

Selain itu, e-Invois turut mengurangkan beban pentadbiran perniagaan dengan memudahkan proses perakaunan, audit dan pemfailan cukai melalui rekod digital yang seragam dan mudah diakses.

e-Invois HASiL
Mekanisme bil kendiri menyokong pembentukan sistem percukaian yang lebih tersusun, telus dan berkesan.

Maklum balas positif daripada komuniti perniagaan terhadap fasa awal pelaksanaan e-Invois menunjukkan tahap kesediaan industri yang semakin baik dalam menyesuaikan diri dengan keperluan baharu ini.

Penyesuaian sistem kewangan dan perakaunan oleh sektor perniagaan turut mencerminkan penerimaan meluas terhadap transformasi percukaian negara.

Dengan kefahaman yang jelas dan pematuhan yang konsisten, sistem e-Invois berpotensi menjadi pemacu utama dalam memperkukuh pentadbiran cukai negara yang moden, cekap dan berintegriti sekali gus menyokong kestabilan fiskal serta pembangunan ekonomi jangka panjang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button