BERITA SEMASA

HASiL perkukuh kepercayaan pembayar cukai melalui AI dan pendekatan telus

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkukuh usaha membina kepercayaan pembayar cukai melalui pendekatan pematuhan berasaskan kerjasama, ketelusan serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pentadbiran percukaian negara.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, tema Persidangan Percukaian Kebangsaan 2026 iaitu “Percukaian Masa Hadapan: Memacu Kepercayaan, Ketelusan dan Transformasi” selari dengan komitmen agensi itu untuk membangunkan ekosistem percukaian moden yang menggalakkan pematuhan melalui perkhidmatan dan bukan semata-mata penguatkuasaan.

Menurut beliau, HASiL mengguna pakai pendekatan Co-operative Compliance yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), yang menekankan hubungan berasaskan kepercayaan, ketelusan dan kerjasama antara pentadbir cukai serta pembayar cukai.

“HASiL komited mewujudkan persekitaran yang seimbang, yang mana pematuhan disokong oleh panduan yang jelas, proses yang telus dan pelaksanaan undang-undang yang konsisten, sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan lebih 8.5 juta pembayar cukai aktif di negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre hari ini.

Beliau berkata, HASiL terus mempergiat aktiviti audit dan pematuhan strategik berasaskan risiko bagi mengesan ketidakpatuhan yang signifikan termasuk pelarian cukai dan perancangan cukai agresif.

“Sehingga 30 Jun 2026, HASiL berjaya membangkitkan taksiran tambahan berjumlah RM4.4 bilion hasil daripada usaha berterusan tersebut,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau menegaskan hak pembayar cukai terus dipelihara menerusi ruang rayuan dan penyelesaian pertikaian melalui Jabatan Resolusi Pertikaian, selain proses semakan menyeluruh di peringkat cawangan, negeri dan ibu pejabat sebelum sesuatu taksiran dibangkitkan.

Menyentuh mengenai transformasi digital, Abu Tariq berkata, AI kini menjadi elemen penting dalam operasi HASiL dan merupakan antara objektif utama di bawah Pelan Korporat (TEKAD) HASiL 2026-2030.

Beliau menjelaskan, teknologi tersebut digunakan untuk memperluas asas hasil, meningkatkan keberkesanan pematuhan, memperkasa operasi dalaman dan memperkukuh perkhidmatan kepada pembayar cukai.

Menurutnya, AI telah membantu HASiL memproses, meneliti dan menganalisis lebih 1.6 bilion e-Invois yang diterima setakat ini, sekali gus meningkatkan keupayaan pengesanan risiko pematuhan dan menyokong proses membuat keputusan berasaskan data.

Selain itu, HASiL sedang membangunkan sistem yang mengintegrasikan AI dalam penentuan jenis surat cara dan kadar duti setem di bawah pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) yang bermula 1 Januari lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pertimbangan profesional dan penyeliaan manusia akan terus menjadi asas utama dalam pelaksanaan tugas HASiL.

“Teknologi berfungsi sebagai pelengkap kepada keupayaan insan dan tidak sekali-kali menggantikan integriti, empati serta nilai etika yang menjadi tunjang utama perkhidmatan awam,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button